Tok Guru dan Pakatan

Posted November 17, 2009 by myzaidibrahim
Categories: 1

Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang. Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan. Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham. Jadi eloklah kita teliti kembali apa yang saya sarankan.

Premis utama dalam cadangan saya itu ialah kita perlu kepada seorang “spiritual leader”, sama saperti Mahatma Gandhi sewaktu zaman India memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Kita tahu pemimpin seperti itu diperlukan untuk menerajui gerakan Pakatan. Pemimpin politik biasa, walau bagaimana hebat dan handal sekali pun, tidak akan cukup kuat untuk melawan gergasi Barisan Nasional.

Yang saya maksudkan sebagai pemimpin spiritual ini adalah seorang pemimpin yang tidak ada cita-cita nak jadi Perdana Menteri atau apa-apa jawatan besar. Ini sama seperti Gandhi yang tidak mahu apa-apa jawatan, hanya setakat menyokong Jawaharlal Nehru sebagai Perdana Menteri India merdeka. Yang Gandhi mahu hanyalah India yang merdeka, bersatu dan bebas dari penjajahan. Pemimpin seperti ini bergerak atas keluhuran perjuangan. Samalah saperti Mandela, dan Imam Khomeini . Pemimpin saperti ini disayangi oleh rakyat kerana prinsip dan sifat humanisme beliau. Dia tidak ada masalah peribadi, tidak ada skandal, tidak ada cita-cita duniawi melainkan perjuangan untuk menegakan keadilan dan melawan kezaliman.

Jadi bila saya toleh kiri dan kanan dan saya lihat hanya Tok Guru Nik Aziz ada kelayakan tersebut. Beliau diterima oleh semua kaum dan agama. Maka saya terus mencadangkannya kerana saya berpendapat hanya apabila kita letak pertarungan Pakatan vs BN atas perjuangan spiritual melawan kuasa yang rakus dan rasuah, barulah rakyat akan bersemangat dan bangkit bersuara untuk memihak kepada kita. Formula politik lain memang ada tapi saya rasa ia tak cukup dan tak padan untuk menggerakkan satu usaha besar menggantikan BN sebagai kerajan pilihan rakyat.

Soal jawatan Perdana Menteri itu terserahlah kepada wakil-wakil rakyat Pakatan sesudah mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baru. Itu perkara mudah kerana Tok Guru pun tahu dan bersedia menerima orang lain yang lebih sesuai untuk menjadi PM. Cadangan saya ini juga sama seperti dengan keududukan Pengerusi Parti Buruh atau Konservatif di UK yang tidak pernah pun menjadi Perdana Menteri. Tugas mereka adalah menjaga perpaduan dan kekukuhan parti. Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti. Jadi penyokong dan peminat Anwar Ibrahim tak usahlah bimbang.

Yang penting sekarang ialah menentukan apa yang perlu dilakukan untuk menjayakan kemenangan Anwar dan Pakatan Rakyat. Apakah yang akan menggerakkan tsunami politik baru untuk memberi kuasa kepada rakyat melalui Pakatan? Sesudah Mac 8, 2008, ada orang kata bahawa Pakatan seolah-olah sudah hilang tenaga sekarang. Menurut Merdeka Centre dalam kaji selidik baru-baru ini, BN masih lagi akan menang jika pilihan raya umum diadakan hari ini. Malah BN dikatakan tetap boleh mengekaklkan dua pertiga kerusi Parlimen. Begitu membimbangkan sekali persepsi ini terhadap Pakatan.

Itulah sebabnya saya mahu para penyokong kita tanpa mengira kaum dan agama berfikir bagaimana kita nak memperkukuhkan Pakatan dan cuba mencari cara dan pendekatan baru. Kita jangan cepat panik atau takut kepada perkara-perkara kecil dan sampingan yang memang menjadi adat politik. Yang penting kita mesti pastikan Pakatan tidak lari dari landasan utamanya iaitu menolak BN untuk memberi ruang bernafas kepada rakyat menikmati keadilan, demokrasi dan kebebasan yang sebenar tanpa dicengkam salah guna kuasa, rasuah dan diskriminasi.

Yang utama mestilah kemenangan Pakatan kerana ia bererti kejayaan kepada rakyat. Saranan saya bukan sahaja kepada rakyat untuk berusaha gigih ke arah mencapai matlamat ini tetapi juga kepada para pemimpin dan ahli komponen Pakatan supaya berkorban dengan bersikap jujur dan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat. Malah lebih baik lagi, para pemimpin dan ahli komponen Pakatan harus mengurangkan ketegangan dan salah faham sesama sendiri. Kita boleh buat demikian dengan cara bersabar dan bersifat maaf-memaafkan, cepat-cepat berbaik semula jika berlaku silap faham. Ingatlah rakyat mahu melihat kita bersatu sebelum kita merayu kepada rakyat untuk bersatu-padu menyatakan sokongan kepada kita.

Saya harap semua ini dapat diperjelaskan dengan jujur dan ikhlas di Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember ini. Saya juga harap kita dapat temui kata maufakat tentang hal-hal penting dalam Pakatan Rakyat, dan berusaha menjernihkan apa-apa yang keruh. Dengan ini saya juga ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah haji kepada mereka yang akan mengerjakan ibadat yang mulia ini di Tanah Suci Makkah. Semoga semangat baru untuk menegakan keadilan dan menolak kezaliman akan terisi di hati sanubari kita semua. Labbaik Allah humma labbaik.

Tengku Razaleigh dan Pakatan

Posted November 13, 2009 by myzaidibrahim
Categories: 1

Satu wadah politik yang bernama Pakatan Rakyat Malaysia telah pun dikemukakan permohonan untuk kelulusan Pendaftar Pertubuhan 10 hari yang lalu. Saya amat gembira dengan perkembangan ini; maklumlah ini adalah julung kali tiga parti pembangkang terbesar di tanah air kita bersetuju untuk bersatu di bawah satu kerangka yang sah serta mempunyai lambang dan matlamat perjuangan politik yang satu.

Namun, kegembiraan ini tidak pula dikongsi bersama oleh pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik. Tidak ada langsung kenyataan yang memberangsangkan dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu. Mereka seolah-olah tidak mahu perkara ini dihebohkan kepada orang ramai. Tak tahu lah saya sama ada ini strategi politik masing-masing; hanya mereka sahaja lah yang mengetahui sebab-musababnya.

Sebaliknya yang dihebohkan kepada awam adalah kenyataan seorang dua pemimpin kanan PKR yang bersungguh-sungguh mahu menjelaskan kepada orang-ramai bahawa saya bukan lah Pengerusi Pakatan Rakyat Malaysia. Mereka menjelaskan nama saya sebagai pengerusi “protem” ini hanyalah untuk tujuan pendaftaran. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana gigih berusaha membuat penjelasan itu. Saya percaya rakyat Malaysia yang bijaksana sudah pun sedia maklum yang permohonan pendaftaran sesebuah pertubuhan memang memerlukan beberapa pegawai penaja untuk memenuhi syarat pendaftaran. Sudah tentu tak masuk akal kalau saya yang menjadi “ketua” kepada pemimpin-pemimpin besar seperti Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Yang rakyat ingin dengar tetapi tak diterangkan ialah tujuan dan harapan penubuhan Pakatan Rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada Barisan Nasional. Bagi saya penjelasan tentang isi lebih penting daripada bercakap soal kulit. Saya pasti rakyat ingin tahu matlamat, wawasan dan strategi bersama Pakatan Rakyat Malaysia.

Bercakap mengenai strategi politik, saya bukan pakar atau ada apa-apa agenda tersendiri. Saya sekadar ingin melihat satu perancangan dari parti-parti pembangkang yang harus diketahui oleh rakyat; tentang bagaimana pelan tindakan mereka untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pusat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat. Buat masa ini pelan itu, kalau pun ada, masih tidak jelas.

Mungkin ada beberapa tindakan yang boleh dipertimbangkan. Misalnya, para pemimpin Pakatan sepatutnya berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh supaya pemimpin politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah masuk gelanggang bersama-sama dengan mereka.Pasukan Pakatan tentu masih memerlukan beberapa orang ’striker’ lain dari yang ada sekarang untok memperkuatkan pasukan.Ku Li memang orang lama; tetapi ada integriti dan pandangan politik nya kontemporari.

Beliau tidak semestinya melompat parti kerana perjuangan untuk matlamat yang sama boleh diwujudkan melalui kerjasama yang lebih rapat. Ini boleh dilakukan dengan mengadakan ceramah dan kempen bersama. Saya sedar Ku Li masih mempunyai impian untuk memulihkan UMNO, iaitu menghidupkan semula UMNO asal yang telah mati (dan kemudiannya menjadi alat untuk kroni-kroni parti dengan masalah politik wang dan rasuah). Bagi saya tidak ada salahnya kerjasama seperti itu kerana hasrat bersama kita ialah membuat pembaharuan ke arah sistem pemerintah yang bersih, cekap dan tidak rasuah.

Untuk menjayakan usaha ini, ia memerlukan “pengorbanan” dari Anwar Ibrahim. Abdul Hadi Awang juga boleh membuat sumbangan besar dengan meminta Tok Guru Nik Aziz untuk menjadi Ketua atau Pengurusi kepada Pakatan Rakyat; sama seperti Mahatma Gandhi yang menjadi “spiritual leader” kepada parti Kongres India. Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” dengan bersetuju dengan cadaangan ini serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi. Sekali gus tindakan ini akan melenyapkan sebarang agenda “unity government” dengan UMNO.

Satu lagi perkara yang perlu diberi pertimbangan serius adalah mengkaji semula impian yang terlalu tinggi untuk menang besar di Sabah dan Sarawak. Realiti politik menunjukkan ia adalah usaha yang amat berat. Kesan buruknya sudah pun kelihatan sekarang apabila berlaku perebutan kerusi, sama seperti dalam pilihan raya umum 2008. Hakikat politik juga menunjukan bahawa adalah lebih baik jika Pakatan memainkan peranan dengan memberi sokongan padu kepada parti-parti tempatan yang sehaluan dengan Pakatan di Sabah dan Sarawak. Ini bukan sahaja langkah yang dilihat sebagai menghormati maruah dan kekuatan orang tempatan tetapi juga membawa kepada kesan yang lebih besar, iaitu membawa mereka bersama menjadi rakan kongsi dalam Pakatan. Bukankah ini lebih realistik?

Yang penting untuk menjadi ikatan kuat dalam Pakatan ialah kesanggupan semua pihak untuk bersetuju tanpa berdolak-dalik untuk memastikan wujudnya dasar-dasar negara yang baik dan dipersetujui bersama melalui perbincangan sebagai landasan perjuangan. Hanya gabungan besar atau “grand coalition” seperti ini mampu mengatasi gergasi BN. Sebaliknya jika para pemimpin besar ketiga-tiga parti ini masih lagi merasakan mereka sudah cukup kuat dan hebat, dan memadai dengan meneruskan cara lama, iaitu melalui pakatan pilihan raya atau “electoral pact” semata-mata, saya yakin impian ke Putrajaya hanya akan kekal sebagai mimpi di siang hari.

Saya harap tidak ada sesiapa akan terasa hati dengan cadangan-cadangan saya atau menuduh saya mahu tunjuk pandai. Saya tidak ada niat sedemikian. Namun begitu, saya tetap dengan pendirian bahawa segala usaha perlu dilakukan oleh semua parti pembangkang dan individu dengan seberapa segera supaya hasrat rakyat yang mahukan perubahan dapat dicapai.

Jika masih ada di kalangan Pakatan yang cuma memberi keutamaan kepada kepentingan parti masing-masing atau kedudukan mereka diletakkan lebih tinggi dari kepentingan muafakat, saya anggap mereka ini sebenarnya bukan pejuang perubahan. Golongan ini hanya mahukan kuasa untuk diri mereka. Rakyat akan melihat golongan tak ada bezanya dengan pemimpin UMNO dan BN.

Kita masih dalam era reformasi. Ini bererti semua pihak mesti sanggup membuat pengorbanan. Pemimpin tidak boleh suruh rakyat berkorban jika mereka sendiri tidak mahu membuat apa-apa perubahan dalam diri sendiri. Rakyat sentiasa mengawasi tingkah-laku para pemimpin, terutamanya mereka yang sanggup menggagalkan usaha perubahan ini demi kekuatan kumpulan mereka. Jika para pemimpin ini masih berdegil dan mengikut kaedah lama, rakyat akan menghukum kita dalam pilihan raya umum akan datang.

Kalau Hati Dah Busuk…

Posted October 21, 2009 by myzaidibrahim
Categories: 1

Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata buat-buat tak nampak. Itulah yang saya tahu mengenai A. Kadir Jasin, seorang wartawan dan pengarang terkenal yang berkhidmat penuh setia di bawah rejim Dr Mahathir Mohamad dahulu. Secara peribadi, saya tak pernah kenal mesra dengan Kadir. Oleh itu saya hairan mengapa dalam blognya dia telah begitu bersungguh-sungguh melemparkan tuduhan liar tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap kebenaran. Malah saya tak pernah bertemu dengan mana-mana wartawan atau pengarang yang begitu hitam kesumatnya sehingga sanggup memfitnah orang lain seperti Kadir ini.

Dalam blognya, dia menggelar saya Hurricane Hattie, satu watak kartun tahun 60-an yang suka mengacau orang lain. Saya ini dianggap oleh Kadir sebagai pengacau dalam UMNO dan kini pengacau dalam PKR. Dia kata dia tidak berniat jahat tetapi setiap ayat yang ditulisnya berbau busuk dan jahat. Dia kata saya ini kaya-raya kerana UMNO. Tuduhan ini sebiji sama dengan tuduhan “boss” Kadir, iaitu Dr Mahathir Mohamad. Dia tuduh kononnya saya kaya setelah UMNO diharamkan. Saya kononnya menjadi orang perantaraan dalam penyelewangan harta UMNO tersebut. Jadi dari situlah harta UMNO hilang dan orang seperti saya menjadi kaya-raya. MasyaAllah!

Selalunya orang yang berlatarbelakang kewartawanan seperti Kadir sepatutnya membuat penyelidikan dahulu supaya semua fakta lengkap dan tepat bagi memastikan tulisannya adil dan seimbang. Saya boleh menerima tuduhan asalkan ada fakta dan maklumat yang tepat. Tapi nampaknya Kadir tidak pernah berubah sikapnya sebagai budak suruhan. Sejak zaman dulu, kewartawanan yang dibawanya memang propaganda basi dan bohong semata-mata. Sebagaimana yang diajar kepada budak-budak wartawannya, cara tulisan Kadir hanya mahu ajak ramai orang merasa benci kepada saya. Walaupun apa yang ditulis itu adalah fitnah dan tidak berasas.

Kadir patut sedar bahawa propaganda murahan zaman dia berkuasa di Straits Times sudah tak laku lagi. Lebih baik bagi Kadir jika dia menyatakan apa yang benar. Ramai orang tahu Kadir baik dengan Tun Daim Zainuddin, iaitu Bendahari UMNO pada masa itu. Sudah tentu rapat juga hubungannya dengan Presiden UMNO Baru, Dr Mahathir. Begitu juga dengan orang kaya UMNO, Tan Sri Halim Saad. Peguam Negara pada masa itu pula ialah Tan Sri Abu Talib yang bertanggungjawab kepada pejabat Official Assignee tahu kemana harta UMNO pergi; semua mereka ini masih hidup. Biarlah mereka yang mendedahkan penyelewengan ini.

Berilah fakta dengan tepat bagaimana, jika benar, saya “meraih” harta tersebut. Sebenarnya orang seperti Kadir tak ada apa-apa selain dari membuat tuduhan liar. Seperti yang saya terangkan dalam buku saya, Saya Pun Melayu, saya tidak pernah menjadi orang kanan UMNO dan rapat dengan pemimpin tertinggi UMNO. Saya tak sampai taraf Kadir yang berselisih bahu dengan pucuk pimpinan UMNO waktu Mahathir hebat dulu. Saya bukan peguam korporat UMNO. Yang jadi peguam korporat UMNO masa itu adalah Rashid & Lee, termasuklah Ketua Hakim Negara yang ada sekarang. Saya hanya buat seketika menjadi peguam kepada UEM dalam kes penswastaan Lebuh Raya Utara Selatan. Saya tidak pernah terlibat dalam apa–apa corporate deals berhubung Tan Sri Halim atau sesiapa pun. Ini semua telah saya jelaskan dalam buku saya tanpa berselindung.

Orang macam Kadir ini masih ramai dalam pimpinan UMNO. Mereka tahu apa yang sebenar berlaku. Malah ramai pula yang dapat habuan dari UMNO. Agaknya mereka rasa bersalah dan cuba nak palit dengan orang lain pula. Bila mereka rasa besar diri dan sedar ramai ahli biasa UMNO tidak mengetahui banyak hal-hal dalaman, mudah bagi mereka membuat tuduhan terhadap orang seperti saya untuk melindungi penyamun yang sebenar. Pada zaman Kadir bermaharajalela sebagai pengarang untuk media milik UMNO, saya hanyalah ahli UMNO biasa. Jadi dia rasa mudah untuk membuat tuduhan palsu supaya orang benci saya. Mungkin bila Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Malaysia, kita akan tahu cerita sebenar; bukan sekadar macam mana harta UMNO hilang tetapi juga mengapa UMNO diharamkan atau dimatikan. Malah mungkin juga terbongkar rahsia siapa penyamun sebenar.

Agaknya boss-boss Kadir takut saya berjaya dalam usaha kecil saya untuk merapatkan parti-parti pembangkang sebagai satu wadah kukuh serta mempunyai dasar bersama untuk melawan Barisan Nasional. Jadi wartawan pencen pun digunakan untuk memburuk-burukkan peribadi orang. Golongan ini tahu jika satu dasar bersama dijayakan oleh Pakatan, banyak masalah dalaman akan selesai dan Pakatan akan bersiap sedia untuk menggantikan BN sebagai pilihan rakyat.

InsyaAllah, jika rakyat memberi mandat, kerajaan pusat Pakatan Rakyat akan memberikan kebebasan kepada semua media untuk memilih pengarang yang benar-benar jujur, ikhlas dan berani dalam profesion mereka di kalangan wartawan sebenar. Ini akan memastikan tidak ada lagi political assassins seperti Kadir yang hanya tahu menembak curi orang-orang yang berjuang demi rakyat dan demokrasi.

Bagi saya, kalau PKR, PAS atau DAP yang mendakwa saya ini satu watak kartun dan seorang pengacau, maka saya perlu meneliti tuduhan tersebut. Tetapi kalau setakat penulis upahan UMNO yang membuat tuduhan, saya rasa saya masih lagi boleh tidur nyenyak. Lagi pun tak berapa syok nak melayan budak-budak upahan, terutamanya yang hati mereka dah terlalu busuk.