Archive for May 2009

Di antara Chin Peng, Komunisme dan Perkauman

May 29, 2009

Meninjau tindakan pihak polis terhadap orang ramai beberapa bulan kebelakangan ini, saya  tidak terkejut kalau ada kedengaran rintihan bahawa Malaysia telah menjadi sebuah Negara  Polis (‘Polis State’). Antara ciri-ciri sebuah ‘Police State’ ialah apabila polis menjadi  satu kuasa pengawalan yang ditakuti. Polis mula menyekat kegiatan serta kebebasan orang  ramai bersuara, yang merupakan amalan biasa di sesebuah negara bebas dan demokratik. Kita  dapat lihat bahawa pasukan polis lebih ditakuti dan bukan dihormati. Bloggers seperti saya juga turut berada dalam pemerhatian mereka. Undang-undang yang  digunakan mereka telah menyekat kebebasan rakyat. Di dalam sebuah ‘Police State’, Polis boleh mengambil tindakan atas apa sahaja yang ditafsir atau dianggap berbahaya kapada kerajaan. Ini membolehkan mereka menyekat apa sahaja kegiatan orang awam yang dianggap menjejaskan kententeraman awam. Hari ini rakyat ditangkap kerana memakai baju warna hitam, menjual CD, tidak mahu makan, berkumpul secara aman dan sebagainya.

Rakyat ingin tahu mengapa Menteri yang bertanggungjawab terus-terusan membiarkan polis  bertindak sedemikian? Besar kemungkinan Menteri juga sudah tidak mampu atau mempunyai kuasa  untuk mempengaruhi pihak polis. Mungkinkah Ketua Polis Negara lebih berkuasa dari Menteri? Saya masih lagi ingat tentang soal penubuhan IPCMC yang dicadangkan oleh Pak Lah dahulu. IPCMC merupakan satu cadagan  baik pada tahun 2004 supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan  bagi menyiasat penyalahgunaan kuasa, kepincangan etika dan amalan rasuah yang sering  berlaku dalam pasukan polis negara.  Cadangan ini merupakan saranan Tun Dzaiddin dan Tun Haniff serta ahli-ahli lain Suruhanjaya DiRaja pada masa itu. Menurut laporan mereka  terdapat banyak kepincangan dan kelemahan polis yang ketara. Walaupun Pak Lah berniat baik  untuk menubuhkan IPCMC dan merealisasikan saranan Tun Dzaiddin ini, pihak polis telah  menolaknya secara terbuka. Saya tidak fikir dalam sebuah negara demokrasi lain seperti Australia atau India, pihak polis mereka berani menentang secara terbuka akan dasar yang diusulkan oleh seorang Perdana Menteri. Namun di Malaysia, begitulah berkuasanya seorang  Ketua Polis Negara.

Saya juga teringat tentang kuasa polis dalam isu dadah. Parlimen telah lama menggubal rang undang-undang khas untuk penubuhan Agensi Dadah Kebangsaan. Menurut undang-undang ini, segala isu mengenai dadah, sama ada kawalan siasatan dan rehabilitasi adalah tanggungjawab dan di bawah kuasa agensi ini. Ini sebenarnya telah diamalkan di negara Filipina dan  Amerika Syarikat. Peruntukan berjuta-juta ringgit telah disediakan untuk menggerakkan  agensi dengan kakitangan yang cukup. Namun sehingga hari ini, polis masih juga  bertanggungjawab dan berkuasa dalam hal ‘prevention enforcement’ dan siasatan kes dadah.  Mereka akan membuat keputusan mengenai segala aspek kes dadah dan bukannya Agensi Dadah  Kebangsaan. Kononnya agensi yang baru ditubuhkan itu tidak mempunyai pengalaman menjalankan  tugas-tugas tersebut. Begitulah berkuasanya Polis DiRaja Malaysia sehinggakan Parlimen atau  Perdana Menteri tidak boleh menukar apa sahaja yang mereka tidak restui.Parlimen sebenarnya memberi kuasa yang luas kepada polis di bawah the Police Act 1967.  Maklumlah kita sebuah negara yang masih di bawah pengisytiharan darurat. Kita juga  mempunyai sejarah  hitam seperti peperangan dengan komunis dan peristiwa 13 Mei. Kuasa luas  yang diberikan itu perlu dilaksanakan secara sederhana dan penuh bijaksana mengikut keadaan  politik dan keperluan semasa. Contohnya, walaupun undang-undang memerlukan rakyat memohon  permit polis apabila mengadakan perhimpunan lebih dari 4 orang, tetapi wajarkah kita  mengikut peraturan ini jika perhimpunan mereka itu tidak membahayakan masyarakat? Jika  mereka mahu pakai baju hitam dalam perhimpunan itu juga saya rasa tidak berbahaya dan tidak  perlu ditangkap. Tetapi begitulah hakikatnya Malaysia pada hari ini. Wakil-wakil rakyat dan  penyokong-penyokong mereka ditangkap semata mata berhimpun secara aman dan memasang lilin. Mereka juga ditangkap kerana mereka mahu berlapar selama 3 hari. Ini semua berlaku kerana  dalam sebuah ‘Police State, sesetengah kumpulan orang awam dianggap musuh kapada pihak  polis. Apabila musuh berkumpul maka tindakan menangkap mereka akan dilakukan. Namun jika yang berhimpun itu bukan musuh dan tidak mempunyai permit, ia dibenarkan tanpa tangkapan. Malang sekali nasib Malaysia. Polis sepatutnya tidak memihak kepada sesiapa dan tidak ada musuh dari kalangan rakyat. Polis perlu bertindak secara  professional dan adil dalam menjaga keamanan negara. Bukan menjaga Barisan Nasional sahaja.

Polis tidak perlu terlalu mendengar pandangan orang-orang politik. Menurut Rais Yatim dan Ahmad Zahid Hamidi, ada pula musuh baru sekarang ini. Kumpulan yang mahu hidupkan komunisme. Agaknya Pak Menteri  membuat kesimpulan begitu kerana ada segelintir orang Cina yang mahukan Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini. Ramai orang bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu kembali dan mati ditanah Malaya. Ini tidak bererti mereka ini mahu hidupkan Komunisme. Jauh bezanya antara mahu menghidupkan Komunisme dengan  rasa kemanusiaan yang membenarkan Chin Peng pulang. Lagipun ramai peguam, di antaranya dari International Bar Association berpendapat Chin Peng ada hak untuk pulang ke tempat lahirnya. Cuma mahkamah kita tidak bersetuju dengan hujah tersebut kerana Chin Peng tidak mempunyai sijil kelahiran. Saya tidak pasti jika Malaya pada waktu itu memberi  kemudahan pendaftaran kelahiran anak, terutama sekali di Baling, Kedah.

Berbalik semula kepada isu kononnya terdapat minat orang ramai kepada Komunisme seperti yang disebut oleh Pak Menteri. Orang-orang Cina di Negara China pun telah menjadi  Kapitalis besar dan selesa. Mereka ini berniaga dalam ‘Free Market Capitalism’. Ini adalah  sama dengan rakyat Malaysia berketurunan Cina. Mereka juga selesa dengan sistem Kapitalis di Malaysia. Tidak masuk akal jika mereka mahu bertukar kepada sistem Komunis. Jadi apakah  tujuan ahli-ahli fikir UMNO dalam memperbesarkan soal Komunisme hari ini? Janganlah kita  melaga-lagakan rakyat dengan mencipta musuh baru. Tidak cukupkah kita berjaya memecah-belah  rakyat selama ini kerana politik? Jika ada yang bersetuju dengan cadangan supaya Chin Peng pulang ke Malaysia kerana dia hendak menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia, itu tidak bererti bahawa dia adalah Komunis atau mahu menghidupkan ideologi Komunis. Dia seorang rakyat Malaya. Usia Chin Peng pun sudah tua. Mustahil dia boleh membuat kekacauan lagi. Pengaruh Komunisme telah lupus. Lagipun pihak polis cekap seperti yang  ada sekarang sudah tentu berupaya mengawal keselamatan negara. Saya terfikir, jika Chin Peng itu seorang Melayu, apakah pendirian dan emosi kita akan sama? Utusan Malaysia  berkempen secara agresif agar Chin Peng tidak dibenarkan pulang. Sehubungan itu gambar-gambar veteran tentera keselamatan yang cedera dan kehilangan kaki dipamerkan. Memang  benar, Chin Peng dan komunis berperang dengan kerajaan Malaya pada masa itu. Memang Chin Peng dan komunis kejam. Termasuklah Rashid Maidin dan Shamsiah Fakih. Dalam peperangan itu, kedua-dua pihak telah terpaksa melakukan kekejaman. Jepun juga pernah berlaku kejam kepada kita semasa zaman  pemerintahannya. Lebih kejam daripada Chin Peng. Namun kita tetap memberi pelukan yang  sangat rapat kepada Jepun. Kita juga memberi kontrak besar kapada syarikat milik Jepun  kerana Jepun memberi pinjaman wang kepada kita. Kita tidak boleh mengubah apa yang berlaku dalam peperangan melawan British. Yang melawan British, ada komunis, ada yang berhaluan kiri (leftist) dan ada juga nasionalis .Ada bermacam-macam kumpulan. Namun mereka semua menetang British dan  menuntut kemerdekaan.

Kadangkala sejarah pahit lama hanya akan diterima apabila kita membuang rasa dendam dan digantikan dengan sifat kemanusiaan. Bila kita menyimpan dendam terhadap musuh, ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Lihatlah di Afrika Selatan. Kerajaan kulit putih dan polis risik kerajaan apartheid telah membunuh dan berlaku kejam terhadapan ratusan ribu rakyat kulit hitam  Afrika Selatan. Ramai yang telah hilang dan telah mati dalam penjara.  Namun Nelson Mandela tidak mahu berdendam. Sebaliknya beliau menubuhkan Badan  ‘Reconciliation and Truth’. Beliau mahu kedua-dua pihak hitam dan putih bersama-sama mencari  kebenaran tentang apa yang berlaku dalam zaman apartheid. Tujuannya ialah untuk mengajar  rakyat supaya bermaaf-maafan dan menghentikan prejudis serta persengketaan antara kaum. Amnesty  atau pelepasan dari tindakan undang-undang diberi kapada pihak pihak yang terlibat.  Ini supaya mereka tidak lagi berdendam dan menghentikan kekejaman antara satu sama lain. 15 tahun dahulu di Rwanda, orang Tutsi dan Hutus berperang saudara. Kedua-duanya rakyat  Rwanda. 800,000 rakyat mereka dari kedua-kedua kaum terbunuh dan dalam tempoh 8 bulan iaitu waktu kegilaan memuncak. Presiden baru telah memanggil semua kaum dan mengadakan dialog serta perbincangan tentang apa yang telah berlaku. Mereka menceritakan apa yang menyebabkan mereka benci dan membunuh satu  sama lain. Mengapakah puak Tutsi tidak membenarkan Hutus memasuki perkhidmatan kerajaan?  Mengapa Hutus tidak banyak mempunyai urusan perniagaan dan sebagainya? Mengapa hanya  pasukan tentera Hutus yang layak menduduki jawatan tinggi. Dialog in berjalan tahun demi  tahun dan telah menjadi satu penawar yang kuat dan membolehkan Negara kecil Rwanda kembali  aman. Hari ini Rwanda mengamalkan sistem demokrasi yang baik dan ekonominya kukuh kerana  mereka sudah tidak lagi bermusuh. Itulah kelebihan bangsa dan negara yang tahu serta  mempraktikkan nilai kemaanusian. Mereka sanggup bermaafan antara satu sama lain dan  bukannya sengaja mencari musuh. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Amatlah sukar bagi UMNO untuk berbuat demikian. Mahu minta maaf kepada hakim-hakim yang  dipecat pun mereka enggan. Masakan mereka sanggup melupakan Chin Peng? Saya harap  sekalipun kerajaan tidak mahu Chin Peng kembali, janganlah sampai menuduh mereka yang  bersimpati dengan hasrat Chin Peng mahu mati di Malaya  sebagai musuh kerajaan. Biarlah rakyat bersuara dan menunjukkan pendirian mereka  sendiri. Jangan terlalu mudah mengkategorikan rakyat dan menganggap golongan cina sendiri  sebagai musuh. Ini semua adalah  timbul dari  perbezaan pendapat kerana perspektif sejarah yang rumit dan tidak banyak diketahui umum.

Pilihanraya (Kecil atau Umum) Bukan Satu Pembaziran

May 25, 2009

Selepas majlis penamaan calon pilihanraya kecil Penanti selesai, saya terus ke sebuah kedai nasi kandar yang terletak di Seberang Prai. Di sana, saya sempat berbual dengan beberapa orang aktivis Pas dari Kelantan dan Selangor. Tanpa diduga, salah seorang daripada mereka mengistiharkan saya sebagai Melayu Terbilang. Saya fikir ada besar kemungkinan dia hanya bergurau. Barangkali itu cara dia memberi penghormatan atau pujian. Cara dia berucap itu menampakkan keikhlasan namun gelaran itu membuat saya tidak senang duduk dan rasa serba salah. Tiada ada apa yang gemilang lagi terbilang tentang diri saya ini.

Menurut UMNO, gelaran itu telahpun diberikan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada bulan lepas. Sebelum Tan Sri Syed Mokhtar, kita rasa kagum dengan para Melayu lain yang juga terbilang seperti Tun Daim zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Halim saad, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin, Tan Sri Abu Sahid (tuan punya Maju Holdings) dan termasuk beberapa orang lain yang dikenali sebagai Raja-Raja AP. Apa yang menyerlah tentang personaliti dan watak mereka yang terbilang ini ialah sifat mereka yang terlalu ‘low key’. Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah hidup mereka. Malahan, berita mengenati bisnes mereka juga tidak banyak mendapat liputan kecuali apabila  keadaan memaksa. Mereka ini seolah-olah malu untuk diketahui umum. Memang benar, terdapat juga jutawan dari negara-negara barat yang bersifat ‘recluse’ kerana tidak mahu kehidupan serta cerita kejayaan mereka diketahui umum, namun golongan ini tidaklah ramai. Di sana mereka lebih suka bercerita tentang kejayaan rakyat agar dapat dicontohi semua. Bill Gates, Richard Branson atau Warren Buffet adalah ikon mereka. Malah, saya begitu gemar membaca buku-buku yang ditulis oleh Richard Branson, yang menceritakan kejayaan beliau menjadi jutawaan terkemuka walaupun datang daripada sebuah keluarga miskin serta tidak mempunyai ijazah universiti. Alangkah baiknya jika terdapat buku-buku yang ditulis mengenai cerita kejayaan orang-orang Melayu terbilang? Analisis dibuat tentang bagaimana mereka berjaya dalam bisnes agar anak-anak Melayu dapat mempelajari teknik-teknik mencapai sukses dalam hidup.

Di Penanti juga saya agak kecewa bila bertemu dengan mereka-mereka yang masih lagi berpendirian bahawa pilihanraya kecil ini tidak perlu diadakan kerana membawa pembaziran. Saya berasa hairan bagaimana satu amalan demokrasi dianggap membazir. Wakil Rakyat Penanti sebelum ini, Fairuz telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan. Apapun sebab atau alasan yang diberi, hakikatnya dia telah meletakkan jawatan. Kita mungkin rasa marah kepadanya atau kepada partinya (PKR). Terpulang. Walaubagaimanapun, bila ada kekosongan kerusi, rakyat Penanti berhak  mendapat seorang wakil rakyat yang baru. Rakyat Penanti menjadi perkiraan utama. Kerajaan pernah menyatakan bahawa ia tidak mahu mengadakan pilihanraya kecil apabila seseorang wakil rakyat meletak jawatan dengan alasan mahu menjimatkan wang. Jika itu keputusannya, maka gubal undang-undang baru agar kekosongan itu diisi oleh wakil parti yang memenangi kerusi tersebut sebelum ini tanpa melalui proses pilihanraya kecil. Dia perlu berkhidmat sehingga tarikh pilihanraya umum yang akan datang. Ini sebenarnya telah diamalkan oleh sesetengah Negara. Saya rasa kita perlulah bersikap realistik. Kadang-kala ada wakil rakyat yang terpaksa meletakkan jawatan. Jika dia sudah tidak mahu lagi menjadi wakil rakyat (walaupun telah puas dipujuk). Maka, dia tidak lagi berupaya menjaga kepentingan rakyat di kawasannya. Yang rugi adalah rakyat. Oleh itu pilihanraya kecil wajar bagi mencari pengganti wakil rakyat seperti ini. Jika kita anggap pilihanraya kecil membawa pembaziran, saya pasti tidak lama lagi kita akan diberitahu bahawa pilihanraya umum itu juga membawa pembaziran.

12 tahun dahulu, kita telah melakukan satu perkara luar biasa dengan membuat pindaan Perlembagaan. Wakil Rakyat yang membuat keputusan meletak jawatan akan hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun. Ini sebenarnya adalah cukup untuk menjadi penghalang atau ‘deterrent’ kepada mereka yang mahu meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah. Tidak ada siapapun yang siuman mahu melepaskan jawatan dengan mudah selepas bersusah payah bertanding pilihanraya dan memenanginya.Kita harus lebih bersimpati kapada Fairuz dan orang-orang sepertinya. Dia memang berhasrat mahu menjadi Wakil Rakyat tetapi keadaan adalah sukar dan tanggungjawab terlalu berat untuk dipikul. Mungkin juga terdapat tekanan lain yang dihadapinya. Jika BN tidak mahu bertanding di Penanti, katakan sahaja. Tidak perlu mereka cerita karut seperti perlu ada undang-undang menyekat atau denda mereka yang meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Pada pendapat saya, jika Kerajaan mahu mengelak pembaziran, mereka lebih perlu membelanjakan wang rakyat secara berhemah. Mereka boleh mulakan proses ini dengan mengambil kira pandangan pegawai-pegawai JKR yang bertauliah lagi professional tentang kos atau harga kontrak projek yang sebenar.Bukanlah harga yang ditentukan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Lagipun menurut blogger ‘ez42get’, negara telah mengalami kerugian lebih 100 billion ringgit sejak tahun 1980 kerana skandal dan pembaziran yang lain. Ini adalah lebih baik daripada menyalahkan seorang Wakil Rakyat yang terpaksa meletakkan jawatan dan membolehkan satu pilihanraya kecil diadakan.

Hulubalang Utama Dato’ Seri Najib

May 21, 2009

Dato Seri Najib di dalam temuramahnya oleh The New Straits Times dan Business Times kelmarin, menggambarkan sifat berani. Beliau berkata bahawa cara tradisional yang digunakan oleh kerajaan dalam menentukan kuota dan kepentingan ekuiti  kepada bumiputra perlu dikaji semula. Ini kerana ia akan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Beliau juga berkata apabila amalan meritokrasi diabaikan, Bumiputra akan menjadi lemah. Satu cara baru pengagihan perlu diperkenalkan dan dilaksanakan, katanya.

Laungan hebat yang bersifat progresif dan liberal ini sering kita dengar daripada seorang Perdana Menteri (PM) yang baru dilantik. Dr. Mahathir dan Abdullah Badawi juga pernah melaungkan slogan serta dasar yang hampir sama semasa mereka baru dilantik. Malangnya, mereka tidak bersungguh-sungguh menjadikan ia satu kenyataan.

Saya juga sangsi bahawasanya PM baru kita ini akan berjaya. Jika dia benar berani dan mahu membawa perubahan, mengapa wawancara tersebut dibuat oleh akhbar Bahasa Inggeris? Akhbar yang menjadi bacaan golongan ahli bisnes kebiasaannya. Bukankah lebih meyakinkan jika wawancara itu dibuat oleh Utusan Malaysia? Akhbar yang dikatakan “Pembina Minda Rakyat”. Saya ingin melihat  Dato Seri Najib membuat kenyataan yang sama berserta kupasan panjang lebar tentang perubahan Dasar Bumiputra ini dalam Kongress Khas UMNO mithalinya. Sudah sampai masanya beliau membuat peta baru tentang  halatuju Malaysia dan Bangsa Malaysia. Dan juga peta baru untuk parti UMNO.

Apabila Dato Seri Najib menyatakan bahawa semua ‘warlords’ (hulubalang) dalam UMNO adalah sahabat beliau dan dia adalah warlord yang terbesar, saya bimbang jika beliau merasa terlalu yakin. Saya sebenarnya ingin melihat reformasi Dato Seri berjaya. Saya ingin berpesan bahawa ‘warlords’ yang dianggap sahabat itu sebenarnya adalah sementara sahaja. Tidak lama lagi beliau bakal menerima tekanan dan ugutan. Warlord-warlord ini berbisa dan bengis. Mungkin Dato Seri Najib menganggap dirinya warlord yang utama buat masa ini. Namun elok juga dia menoleh ke belakang untuk keselamatan karier politiknya.

PM tidak perlu takut jika orang Melayu marah kepadanya apabila dia membuat perubahan terhadap dasar ekonomi. Perubahan yang adil dan memberi keutamaan kepada yang memerlukan tidak akan menimbulkan kemarahan sesiapa. Termasuk orang Melayu. Namun yang akan marah adalah golongan yang sering mendapat habuan dan upah kerana ada kepentingan politik yang berhubung kait dengan orang-orang berkuasa. Kita perlukan seorang PM yang tidak takut oleh isu dan premis lama yang sering digunakan bagi mengekalkan Status Quo. Mereka yang tidak mahukan perubahan sering menggunakan elemen ketakukan kepada rakyat kerana itu adalah cara mereka mengekalkan pengaruh dan kuasa.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.