Archive for June 2009

Jaga lah Petronas Baik Baik

June 30, 2009

Kebelakangan ini banyak yang memperkatakan tentang kuasa Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang disukainya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas. Kuasa itu juga membolehkan Perdana Menteri memecat sesiapa sahaja yang tidak disukainya. Arahan Perdana Menter mesti diikut. Begitulah kedudukan Petronas, seolah-olah ianya adalah milik peribadi Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan kuasa Perdana Menteri yang begitu luas seperti yang terkandung dalam Peraturan Tubuh Petronas (Articles of Association). Tengku Razaleigh juga seolah-olah menyokong kuasa yang luas itu diberi kepada Perdana Menteri. Beliau menggunakan alasan bahawa Petronas adalah untuk rakyat, jadi Perdana Menteri yang ditugaskan menjaga rakyat wajar memegang kuasa yang tidak terhad itu untuk kepentingan rakyat. Masalahnya, kepentingan pemimpin tidak samesti nya sama dengan kepentingan rakyat ; dan ada pemimpin yang berpendapat kepentingan pemimpin itu samalah dengan kepentingan rakyat. Dengan kuasa luas itu , ia membolehkan Najib Tun Razak untuk menggunakan kuasa penuhnya bagi melantik Omar Ong ke dalam Lembaga Pengarah Petronas, dan kalau perlu, memecat sesiapa sahaja yang dia tidak berkenan . Ia juga bererti arahan PM mesti di ikuti .

Petronas memang untuk rakyat dan Perdana Menteri ditugaskan dan diamanahkan untuk menjaga rakyat. Tapi kita tahu tak semua pemimpin bersifat amanah dan tidak semua mementingkan rakyat. Hari ini hampir separuh perbelanjaan kerajaan dibiayai oleh Petronas. Dengan lain perkataan kalau Petronas muflis atau disalahgunakan, maka muflislah Malaysia.

Kita orang Melayu dan juga rakyat Malaysia yang lain biasa benar dengan ungkapan peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi”. Jadi amatlah perlu Perdana Menteri meminda undang-undang tubuh Petronas supaya lebih sesuai dengan keadaan sekarang. Pada masa tertubohnya Petronas memang wajar peranan dan kuasa PM samestinya luas untok menjayakan sesuatu yang baru, lagipun tak ramai anak tempatan yang boleh membuat keputusan besar dan penting. Hari ini keadaan telah banyak berubah. Ia lebih memerlukan pakar pakar yang luas kemahiran untok menjaga kepentingan bisnes yang global dan rumit itu. Biarlah pihak pengurusan melaksanakan tugas secara profesional tanpa selalu terikat dengan “arahan” Perdana Menteri, kerana kita sentiasa perlu waspada kalau pagar akan makan padi.

Kita tahu Petronas dilindungi oleh undang-undang. Parlimen pun tak dibenarkan tahu sepenuhnya apa yang dilakukan oleh Petronas. Dalam keadaan peraturan dan “governance” Petronas sekarang , tak ramai yang tahu apa yang berlaku atau pun berhak mengetahui hal-hal penting dalam Petronas. Hanya Perdana Menteri yang tahu segala-galanya.

Najib sendiri pernah merungut bahawa menteri-menteri pun tak tahu sangat apa yang berlaku dalam Petronas. Sekarang Najib dah jadi Perdana Menteri, bolehkah dan sanggupkah dia mengubah struktur dan peraturan pengurusan Petronas supaya rakyat akhirnya dapat mengetahui apa yang berlaku dan boleh membantu kerajaan dalam membuat cadangan-cadangan bernas? Biar ada ketelusan, biar ada imbangan kuasa di antara Perdana Menteri dan pihak pengurusan Petronas, itulah yang sebaiknya. Alangkah baik nya Petronas diwajibkan bersemuka dengan Ahli Parlimen sekali setahun supaya perkara perkara tertentu boleh diteranditerang dan diperjelaskan. Alangkah baik nya perlantikan Ketua Ekskutif Petronas itu dibuat atas cadangan PM tetapi mesti dipersetujui olih Parlimen. Biarlah Ahli-Ahli Parlimen juga mendapat maklumat penting dan terlibat dalam hal-hal dasar kerana Petronas adalah hak kita semua.

Tapi dalam keadaan hari ini, saya sekali lagi tidak yakin Perdana Menteri akan sanggup dan berani melakukan perubahan itu. Soal pengurusan yang lebih telus dan mengikut keperluan semasa tidak akan tercapai. Petronas dalam pemerintahan Najib akan kekal di bawah kuasa Perdana Menteri sepenuhnya. Saya bimbang rakyat akan suatu hari nanti akan dikejutkan dengan skandal yang besar jika Petronas masih dikuasai oleh seorang pemimpin sahaja, walaupun orang itu adalah Perdana Menteri. Begitulah yang terjadi kepada syarikat minyak Indonesia Pertamina yang hampir muflis pada tahun 1970-an kerana rasuah orang atasan. Kerana tak ada kawalan dan tak ada checks and balances, tiada siapa selain kumpulan pemerintah kecil yang mengetahui apa yang berlaku. Kerana tidak ada kawalan dan oversight maka pagar makan padi!

Bank Dunia baru sahaja membuat keputusan dari kajian mereka bahawa Malaysia merosot sejak tahun 2003 dalam soal pencapaian good governance. Ini bererti pentadbiran yang tidak telus, penyelewengan dan unsur rasuah telah meningkat dalam negara kita. Malah Indonesia, sejak reformasi satu dekad yang lalu, sekarang menunjukkan perubahan positif. Ekonomi dan pentadbiran Indonesia semakin baik dan meningkat. Boleh dan sanggupkah Najib membuat perubahan radikal dalam pengurusan dan pentadbiran Petronas supaya rakyat rasa lega dan puas hati bahawa penyamun besar tidak akan memporakperandakan khazanah rakyat ini?

Walaupun hati masih kurang yakin, harapan saya begitulah. Tapi harapan saya sahaja tak cukup jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri untuk membolehkan Petronas diurus dan ditadbir dengan telus dan terbuka.

Dasar Kerajaan Tak Boleh “Flip Flop”

June 26, 2009

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang bercita cita besar dan dikatakan oleh penyokong nya jauh lebih “bersih” dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, akan membuat pengumuman baru mengenai penggunaan Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik tak lama lagi. Ramai menduga beliau akan merombak dasar yang telah diamalkan lebih 6 tahun lalu sejak diperkenalkan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Memang benar ramai anak Melayu masih ketinggalan dalam penguasaan Bahasa Inggris dan masalah ini tak boleh selesai dengan hanya mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Permasalahan penguasan Bahasa Inggeris oleh anak Melayu memerlukan satu kajian dan dasar khusus. Ianya tidak boleh dikaitkan dengan isu penggunaan Bahasa Inggeris untuk sains dan matematik sahaja.

Kita hairan mengapa selama 6 tahun terlaksana nya dasar tersebut, menteri-menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri sekarang mula memperkatakan tentang kelemahan dasar itu.Mereka tidak pernah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap masalah itu. Kalaulah mereka benar-benar memikirkan kepentingan anak-anak kita di sekolah kononnya sekarang mereka rugi belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris; mengapa sebuah dasar yang dikira gagal dan lemah dibiarkan berterusan sebegitu lama? Saya percaya perkara ini timbul kerana isu ini banyak diperkatakan oleh Pakatan Rakyat; jadi inilah cara UMNO dan Barisan Nasional bertindak – nak tunjukan seolah-olah merekalah yang lebih prihatin dan faham dengan isu tersebut.

Sepatutnya sebelum membuat keputusan itu, kerajaan perlu beri tahu dahulu kepada orang ramai keputusan kajian yang dibuat mengapa dasar ini perlu ditukar. Apakah itu sabenarnya punca permasalahan dan apakah kelemahan itu tidak boleh diatasi. Jika ianya kerana kita perlu tunjok cinta kita kapada bahasa ibunda kita dan dengan itu kita wajib mempelajari sains dan metamtik dalam Bahasa Melayu, timbul pula persoalan bagaimana kita dengan Bahasa Inggeris – apakah ia perlu dipelajari dan ditahap yang mana ia perlu dicapai.

Jika kita ingin letakkan standard atau tahap yang tinggi untuk Bahasa Inggeris dan terpaksa memberi tumpuan setimpal dengan kehendak itu, bukankah satu hari nanti ini pula dituduh sebagai bukti tidak sayang kepada Bahasa Kebangsaan? Menteri Pelajaran kita perlu lebih mendalam dalam kajian beliau mengenai soal pengguasan Bahasa Ingeris. Ia tidak semudah mewajibkan lulus kertas Bahasa Inggeris kepada pelajar SPM untuk meningkatkan penggunaan bahasa itu. Kalaulah kertas perperiksaan itu rendah standardnya (untuk mengurangkan calon yang gagal), itu juga satu pengkhianatan besar kepada anak-anak kita.

Harapan kita ialah supaya kerajaan BN ini menyediakan satu kajian yang dibuat dengan teliti sebelum meminda satu-satu dasar. Biarlah input dari orang ramai yang ada ilmu, pengalaman dalam pembelajaraan dan pengjaran serta dan berpengetahuan tinggi diterima. Lagipun Dr Mahathir melaksanakan dasar penggunaan Bahasa Inggeris itu supaya anak-anak Malaysia termasuk orang Melayu boleh meraih ilmu yang luas kerana bahasa ilmu sekarang ini ialah Bahasa Inggeris. Kalau kerajaan fikir dulu sebelum membuat sesuatu keputusan, rakyat juga akan untung. Jika tidak, ia jadi seperti pi mai, pi mai, tang tu juga. Ikut suka UMNO dan BN saja.

Sikap suka ubah dasar ikut sesuka hati pemimpin BN sama seperti dengan usaha UMNO yang kononnya mahu kepada perpaduan Melayu dengan PAS. Rasanya ini pun tidak difikir dan dihalusi terlebih dahulu. Sebab itu ramai rakyat merasa tertipu. Yang kita dengar sekarang PAS dan UMNO perlu bersatu. Mengikut Mukhriz Mahathir tanpa PAS dan UMNO bersatu , dan sekali gus tidak ada” Malay Unity” maka I Malaysia akan gagal. Kalau lah logik ini benar , mengapa tidak jaya kan Malay Unity itu dulu sabelum umumkan 1 Malaysia .. Bila PAS dan Pakatan Rakyat telah sebulat suara dan tegas menolak usaha UMNO ini, Perdana Menteri tak putus asa pula. Beliau terus berdakwah dengan mengatakan kita orang Melayu perlu bersatu, walau pun Timbalannya sendiri berkata dia tak tahu maksud PAS bila PAS memperkatakan tentang isi cadangan dan usaha untuk bersatu itu

Saya cadangkan Najib supaya jelaskan apa maksud dan tujuan UMNO nak bersatu dengan PAS. Oleh kerana PAS telah pun kata mereka tidak mahu bersatu dengan UMNO, eloklah Perdana Menter sendiri kupas panjang lebar mengapa perlunya kerjasama UMNO –PAS ini. Sama ada benar-benar nak satukan orang Melayu (dengan tidak mempedulikan warga Malaysia yang bukan Melayu) atau cuma mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat. Kalau Najib tak sanggup berterus terang, lebih elok kalau dia tumpukan masa untuk memulihkan ekonomi dan kurangkan bercakap hal-hal yang tak ada faedah.

Saya dan ramai lagi rakyat biasa melihat cadangan ini hanyalah untuk menyelamatkan Najib dari serangan musuh-musuhnya dalam UMNO. Sepertilah Tun Abdullah Ahmad Badawi pada satu masa dulu yang begitu tertarik dengan muzhakarah dengan PAS. Sekarang kita tahu hasrat Pak Lah masa itu hanya untuk pertahankan dirinya dari serangan panglima-panglima besar dalam UMNO yang cuba menolaknya keluar. Dan mereka berjaya. Nampaknya Najib mungkin senasib dengan Pak Lah. Sebab itulah “kerajaan perpaduan” ciptaan Najib hanya mahu dijadikannya sebagai benteng baru untuk memanjangkan pemeritahannya sampai pilihan raya umum ke-13 nanti.

Awas Tafsiran Baru Perlembagaan

June 19, 2009

Mana-mana Perdana Menteri yang baru suka benar memulakan pemerintahan masing-masing dengan slogan atau ungkapan yang dicipta untuk mencerminkan hala tuju pentadbiran mereka. Tetapi lazimnya slogan itu tidak ada sedikit pun mampu melaksanakan hala tuju atau matlamat mereka. Slogan “Bersih Cekap dan Amanah” ciptaan Dr Mahathir Mohamad pada awal tahun 1980-an dahulu begitu memberangsangkan tetapi dari era itulah bermulanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi barah pentadbiran negara sehingga ke hari ini. Begitulah juga matlamat melahirkan kerajaan berintegriti dan ketelusan yang diketengahkan sewaktu kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang gagal dari segi pelaksaanaan kerana para pemimipin UMNO tidak bersedia untuk walk the talk. Mereka cuma cakap tak serupa bikin.

Hari ini rakyat dibebankan pula dengan slogan 1Malaysia. Perdana Menteri Najib mencipta slogan baru kerana tidak mahu teruskan slogan Pak Lah. Entah ke mana perginya integriti dan ketelusan. Di mana hilangnya “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”? Menentang rasuah juga tidak lagi kedengaran. Perdana Menteri sekarang berhempas pulas cuba perjelaskan konsep idamannya itu tetapi makin lama makin keliru rakyat Malaysia. Rakyat jelata terus kebingungan. Najib kata 1Malaysia bukan proses asimilasi dengan memberi jaminan identiti kaum dan etnik tidak dilenyapkan. Dia kata teras perpaduan akan dikekal dan diperkuatkan. Dengan lain perkataan Malaysia akan terus melaksanakan prinsip-prinsip kenegaraan kepada semua kaum berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Malah katanya Rukunegara akan kekal sebagai teras kenegaraan.

Kalaulah semua ini yang dimaksudkan dengan 1Malaysia, mengapa perlu slogan yang baru? Mengapa perlu ungkapan baru mengenai perkara-perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan sejak 52 tahun dahulu? Kecualilah kalau Perdana Menteri ada tafsiran baru bagi peruntukan -peruntukan dalam Perlembagaan Negara. Kita selalu mendengar semua pihak yang bertelingkah juga tidak segan silu mengakui bahawa tindakan dan tafsiran mereka lah yang tepat mengikut Perlembagaan. Selagi kefahaman rakyat tentang Perlembagaan Persekutuan tidak bagitu meluas dan mendalam, selagi itu lah pemimpin politik akan terus bersandiwara mengaku dasar dan polisi mereka itu secucok dengan Perlembagaan ; walaupun pada hakikat nya tidak sama sekali.

Tetapi di Malaysia yang serba boleh ini, kita sudah lihat hakim-hakim yang mendengar kes yang timbul dari krisis politik Perak telah kerap sekali membawa tafsiran dan terjemahan baru kepada konsep dan prinsip Undang-Undang Perlembagaan atau Constitutional Law sama ada dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya dalam menentukan sama ada sesebuah kerusi Dewan Undangan Negeri itu kosong atau tidak; atau pun dalam soal kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri semasa menjalankan tugas sebagai Speaker; atau pun kuasa Raja Berperlembagaan dalam soal melantik Menteri Besar. Mungkin sekarang telah masuk era baru di Malaysia di mana Perlembagaan Persekutuan akan ditafsir dan diterjemah bukan lagi mengikut saluran yang sah dan berpandukan prinsip keadilan tetapi hanya yang secucuk dengan kehendak slogan 1Malaysia.

Bila bertemu dengan kumpulan kecil Pewaris yang suka menggelar diri mereka pembela bangsa, Perdana Menteri terpaksa tunduk dan memberi jaminan kepada mereka bahawa konsep 1Malaysia itu adalah berteraskan Perlembagaan dan tidak ada apa-apa yang akan “di longgarkan”. Itulah drama politik UMNO; setiap kali pemimpinnya mengutarakan sesuatu yang nampak inklusif untuk semua rakyat Malaysia, maka masa itu juga ada kumpulan UMNO yang menuntut supaya jangan tunduk kepada sesiapa pun. Tidak ada langsung satu pendekatan yang objektif dan rasional yang mahu mencari penyelesian tetapi hanya reaksi panas dan emosi. Seolah-olahnya ada warga negara Malaysia yang dianggap tidak mempunyai hak di negara yang dikongsi bersama ini.

Lihatlah kepada kumpulan intelek yang dipanggil untuk berseminar di Trengganu pada 7 Jun lalu. Seminar Gagasan Satu Malaysia – Kesinambungan Satu Perjuangan yang sepatutnya menjelaskan konsep 1Malaysia sebenarnya gagal memudahkan kefahaman orang ramai. Malah ia menambah kekeliruan ada. Ramai akademik membentang kertas kerja seperti Dr Thock Ker pong dari Universiti Malaya, Dr Kamaruddin Said dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia. Mereka menceritakan soal rasa kepinggiran atau sense of alienation. Dr Kamaruddin menceritakan rasa kepinggiran Melayu dalam negara sendiri dengan menyalahkan semua ini kepada penjajah British tanpa menyebut langsung tentang kesalahan dan kelemahan dasar kepemimpin Melayu sejak lebih 50 tahun kita merdeka. Dr Thock pula berkongsi rasa kepinggiran Cina kerana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru manakala Dr Sivamurugan menyebut rasa kepinggiran India secara keseluruhan. Seminar ini jelas menunjukan semua kaum rasa terpinggir tetapi pihak intelek dan akademik gagal mencari kata sepakat mengapa kita rasa terpinggir dan mengapa kita rasa liat untuk bersatu.

Seperti kebanyakan seminar anjuran kerajaan atau universiti awam, tidak sah kalau Menteri tidak rasmi. Maka yang merasmikan seminar itu ialah tidak lain dari Ahmad Zahid Hamidi, kini sebagai Menteri Pertahanan dan kata sesetengah penganalisa politik, bakal Perdana Menteri satu hari nanti. Zahid menyarankan Gagsan Satu Malaysia perlu “dimasyarakatkan” agar sentiasa difahami, dihayati dan dijadikan pedoman dalam proses pembinaan negara bangsa oleh setiap lapisan masyarakat. Rasanya saya pernah dengar ungkapan “dimasyarakatkan” tapi entah apa pula maksudnya. Agaknya ia bererti konsep 1Malaysia itu mestilah mudah difahami lalu diterima oleh semua rakyat. Tetapi bila pemimpin-pemimpin pun belum faham konsep itu sampai ke hari ini, bagaimana mahu dimasyarakatkan?

Zahid turut menyebut tentang pandangan “ caca marba” dari banyak pihak akibat sistem pendidikan yang berbeza. Ini bererti Menteri orang kanan Perdana Menteri sendiri mahukan sistem pendidikan yang ada sekarang ditukar kerana keadaan caca marba yang disebut itu timbul kerana bahasa pengantar yang berbeza. Adakah Zahid mahu supaya bahasa pengantar di semua sekolah ditukar kepada satu bahasa? Kalau ini saranan Menteri, bukankah ini asimilasi yang Najib bersungguh-sungguh nafikan di Parlimen? Mengapa sistem pendidikan sekarang yang dilaksanakan oleh UMNO dan Barisan Nasional sendiri sejak merdeka kini dianggap caca marba oleh Menteri Kanan itu? Bagaimana pula pendirian Menteri Pelajaran dalam hal ini? Nampaknya bukan saja 1Malaysia kelam kabut, sistem pendidikan yang dicipta mereka sendiri juga sudah diakui kelam kabut.

Zahid juga mahu diwujudkan level playing field atau kesetaraan peluang dan keupayaan sebagai satu usaha kearah mencapai matlamat 1Malaysia. Kesetaraan peluang atau equal opportunity boleh kita faham tetapi kesetaraan keupayaan itu apa erti nya? Bunyinya macam peruntukan dalam sistem sosialis atau komunis tapi benarkah begitu? Ini perlu diperjelaskan kerana pentadbiran Najib tidak boleh berselindung di sebalik bahasa dan ungkapan yang sukar difahami rakyat. Apatah lagi kalau para pemimpin BN pun tak sekata apa itu 1Malaysia.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.