Archive for August 2009

Jawapan Saya

August 28, 2009

Sejak saya mula “blogging” dua bulan dahulu, komen yang paling banyak dan hangat saya terima ialah mengenai tulisan saya yang paling mutakhir sekali. Saya mengutarakan pendapat dalam tiga hal. Pertama, mengenai arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor Hassan Ali dari PAS mengenai usaha menangkap mereka yang minum arak dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan penjualan arak di Selangor itu sebagai satu tindakan yang tidak wajar. Kedua, pendapat saya supaya Pemuda PAS tak perlu melarang atau mendesak pembatalan konsert Michael Learns To Rock di Genting. Ketiga dan akhir sekali, mengenai hukuman rotan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno kerana minum beer. Saya tidak bercadang mengulangi pendirian saya yang ditulis sebelum ini selain dari menjawab beberapa komen yang pedas dan hangat tetapi sayangnya tidak berasas dan menyeleweng dari isu sebenar.

Menegenai cadangan Hassan Ali itu, saya mengatakan arahannya sukar dilaksanakan kerana melibatkan banyak isu, termasuklah kuasa Raja dan polis. Juga ianya tidak sepatut dibuat pada hari orang mengundi di Permatang Pasir kerana hal-hal kontroversi boleh merugikan Pakatan Rakyat dan PAS. Saya lebih memikirkan masa depan PAS kerana sekarang ini sudah mula diterima oleh orang Islam dan bukan Islam. Jadi dalam soal mentadbir kita mesti teliti, berhati-hati dan berhemah. Jangan menampakkan diri kita ini ekstrem. Itulah cara kita menjaga hati rakyat; terutama yang lain kepercayaan dari kita. Tetapi kalau cadangan Hassan Ali ini dipersetujui oleh pihak-pihak yang bertanggung jawab, dan juga memberi keuntungan kapada PAS, buat sajalah. Adalah tidak adil bagi sesetengah pembaca membuat tuduhan yang menghina saya secara peribadi dalam soal ini. Soal tunduk kepada tekanan orang bukan Islam tidak timbul sama sekali.

Mengenai konsert itu, saya cuma mencadangkan kepada Pemuda PAS supaya berikhtiar memikirkan masalah negara yang jauh lebih serius seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Ini semua punca keruntuhan masyarakat dan tamadun. Pemuda PAS boleh berusaha secara proaktif membela nasib orang miskin dan kurang upaya. Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada isu pengangguran orang muda yang sekian hari makin bertambah. Soal kesan muzik Barat kepada anak muda kita, carilah pendekatan yang lain yang tidak perlu sampai melarang orang lain yang nak tonton. Disiplin diri kan lebih baik kalau diajar dan dilatih terlebih dahulu. Manusia mana pun tak suka dipaksa. Lagi pun lagu-lagu pop boleh dibeli atau diperolehi dimana-mana, dan Michael Learns To Rock ialah kugiran tahun 90-an yang sesuai kepada orang yang lebih dewasa yang sudah pasti lebih tahu menjaga moral dan nilai hidup mereka.

Dalam soal rotan wanita yang minum beer itu, banyak komen saya terima. Kesemuanya penuh emosi tetapi jelas banyak yang tidak memahami isu sebenar. Sebagai contoh, pertubuhan NGO yang menggelar diri mereka Pembela Islam telah dengan bongkaknya memberi amaran kepada Peguam Negara dan Kerajaan Pusat supaya tidak masuk campur dalam soal Mahkamah Syariah. Mereka juga marah-marah kepada pihak yang tidak setuju dengan hukuman itu dengan menuduh orang yang berbeza pandangan dengan mereka sebagai orang yang tidak menghormati Islam. Pada masa yang sama, mereka konon nya merujuk kepada undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas hujah mereka itu. Jadi saya terpaksa memperjelaskan isu ini sekali lagi. Ingat ya, saya menyentuh mengenai undang-undang yang ada di negara kita.

Undang-undang Syariah adalah undang-undang negeri, iaitu digubal oleh Dewan Undangan Negeri. Mengikut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri, termasuk enakmen agama Islam, mestilah tidak bercanggah dengan undang undang Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan. Kalau bercanggah, maka ia tidak sah. Jadi bila kita katakan hukuman rotan Mahkamah Syariah Negeri Pahang itu tidak sah, ia adalah kerana undang-undang Persekutuan atau “Federal law” di Malaysia melarang wanita dirotan. Jadi hukuman rotan itu dalam kes khusus itu tidak sah. Ini bukan bererti kita menolak Islam atau undang-undang Islam. Undang-undang Syariah Negeri Pahang mestilah tak lari dan bercanggah dengan Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965 dan juga Criminal Procedure Code (rujuk Seksyen 289). Oleh kerana ianya bercanggah, maka hukuman rotan terhadap wanita itu tidak sah. Saya harap Pembela dan penyokong mereka, terutamanya peguam-peguam di kalangan mereka, selalu membaca dan terus membaca supaya dapat mengeluarkan pandangan yang jujur, benar dan tepat.

Tidak semua tokoh Islam sependapat dalam semua perkara. Ini sememangnya hikmah dalam kebebasan bersuara dalam Islam sejak zaman-berzaman lagi; malah di kalangan imam-iman besar dahulu pun ada perbezaan pendapat. Dalam kes yang kita bincangkan ini, Imam Feisal Abdul Rauf dan beberapa intelek serta ulama Islam juga berpendapat hukuman rotan tidak wajar untuk kesalahan minum arak. Kata mereka arak itu lebih banyak buruk dari baik nya. Jadi jauhkanlah diri dari arak. Ini bukan saya kata, ini kata mereka.

Malah, pada bulan Mei yang lalu, Mahkamah Persekutuan Syariah Pakistan yang terdiri daripada Ketua Hakim Besar Haziqul Khairi, Hakim Sallahudin Mirza dan Hakim Fida Mohamad telah membuat keputusan sebulat suara – setelah mendengar hujah dan pandangan ahli fikir dan ulama Islam – bahawa Al-Quran tidak menetapkan hukuman rotan kerana minum arak. Ketiga-tiga hakim itu memerintahkan kerajaan Pakistan supaya meminda undang-undang Syariah yang sedia ada. Untuk pengetahuan umum, undang-undang Syariah di Pakistan lebih keras dan tegas daripada undang-undang Syariah di negeri Pahang. Terpulanglah kepada ulama dan ahli fikir Islam di Malaysia untuk menilai dan menimbang perkara ini.

Apa pun hujah dan pandangan kita janganlah mudah menuduh orang yang berfikiran lain dari kita itu sebagai musuh Islam. Kita tahu Islam itu bermahzab dan banyak pula para imamnya. Jika Islam dijadikan seperti satu pasukan bolasepak yang kita sokong, termasuk membenci dan mencaci pasukan lawan, maka akan hancurlah Islam itu sendiri. Tak mungkin orang Melayu/Islam akan maju kalau pemikiran sempit dan jumud menjadi petunjuk. Islam menggalakkan kita mencari ilmu. Kalau kita sendiri menutup pintu ilmu dan merasakan diri sudah pandai, sukar untuk kita kembali ke zaman gemilang Islam seperti dahulu.

Kalau kita mahu nilai dan hukum Islam berjaya dilaksanakan, maka kita perlu kepada pemikir dan ulama Islam yang jujur, pintar dan berhemah, yang juga tahu bagaimana untuk menggubal undang-undang yang tidak bercanggah dengan undang undang Persekutuan. Ini bukan soal tunduk kepada sesiapa atau apa-apa; ia juga bukan soal nak tunjuk megah dan bongkak serta tak mahu bertolak ansur. Ia adalah soal hikmah untuk memastikan undang-undang Islam itu sah dipakai dan tidak dipertikaikan orang. Masa saya kecil-kecil dahulu pun, orang di kampung saya sudah diajar awal-awal lagi tentang sejarah dakwah Nabi Muhammad S.A.W. setelah mendapat wahyu di Makkah. Tiada paksaan sama sekali melainkan menyampaikan dakwah
dengan cara yang sopan, mulia dan terhormat walaupun berada di tengah-tengah masyarakat Jahiliah.

Beza PAS Dan UMNO?

August 26, 2009

Rasa gembira dan puas hati selepas berkempen di Permatang Pasir bertukar menjadi gelisah dan penuh kebimbangan. Dalam keadaan negara yang tak menentu di mana rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, api perkauman dimainkan oleh UMNO dan media miliknya serta kes yang melibatkan kematian petugas Pakatan Rakyat, tiba-tiba YB Hassan Ali, Exco Selangor, mengeluarkan kenyataan pada hari membuang undi di Permatang Pasir bahawa orang-orang Islam yang didapati minum beer atau arak akan ditangkap oleh pegawai-pegawai Majlis dan Jabatan Agama yang akan diberi kuasa. Apa niat sebenar beliau? Nampak nya begitu yakin sekali ketua PAS ini dengan kekuatan mereka sekarang hinggakan sanggup mengambil risiko ini.

Saya kata risiko kerana tidak cukup dengan itu, Hassan Ali juga akan menangkap orang Islam yang berkerja di tempat minuman itu dijual atau ada kaitan secara langsung dengan penjualan itu. Mengikut laporan berita beliau menyatakan bahawa orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Nampaknya ini akan melibatkan pekerja Melayu dalam hotel, bar, pub dan mana-mana tempat yang menjual beer atau arak seperti kedai runcit, kedai 7-Eleven dan banyak lagi. Drebar lori yang kerjanya mengangkat minuman haram itu juga mungkin dikenakan tindakan. Mungkin juga pegawai kastam yang menilai cukai barangan itu juga dikenakan tindakan.

Kalau kita ikut lojik YB itu, semua pegawai Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan juga bersalah kerana membenarkan beer dan minuman yang dianggap haram dijual di Malaysia, kerana ia membolehkan orang Islam membelinya. Saya tidak tahu bagaimana penguatkuasaan arahan seperti itu akan dilaksanakan tanpa kerumitan yang besar.

Saya juga hairan mengapa Hassan Ali ghairah mahu menangkap orang dan tidak pula mencadangkan perkara yang lebih mudah dilaksanakan. Sepatutnya semua beer dan minumam keras diharamkan sahaja di seluruh Selangor, barulah ada keadilan sejagat. Bukan ikan bilis saja jadi sasaran, malah orang elit pun tidak boleh atau selindung di sebalik undang-undang. Nanti bila PAS mengambil alih Putrajaya, boleh lah pula diharamkan beer dan minuman keras di seluruh negara. Ini samalah seperti cara kerajaan mengharamkan dadah di negara ini. Inilah saja cara kita boleh memastikan orang Islam tidak dimalukan di khalayak ramai apabila didapati bersalah seperti keadaannya sekarang ini. Cara-cara yang lain hanya akan menyusahkan orang yang tak ada kena-mengena dengan perbuatan itu iaitu minum minuman keras.

Ketua Pemuda PAS pun tak kurang hebatnya kerana mendesak kerajaan supaya membatalkan konsert kumpulan pop Michael Learns To Rock yang akan diadakan di Genting tidak lama lagi. Saya tak faham apa tujuan bantahan itu dibuat. Saya juga tak pasti sama ada puluhan ribu umat Islam akan ke Genting, tempat perjudian antarabangsa yang diluluskan oleh kerajaan, untuk menonton konsert itu. Lagipun, kalau konsert itu tidak dibenarkan sekali pun, orang Islam yang berminat masih boleh menonton DVD kumpulan itu setiap hari. Kalau pun tak ada DVD pun, masih boleh download dari internet atau mendengar lagu-lagu kumpulan itu di radio dan TV. Jadi apa hasil dari perbuatan mengharamkan konsert itu? Jangan lah ikut pemimpin BN/UMNO yang membenarkan konsert tapi kerana penaja konsert itu syarikat minuman keras maka orang Islam tidak dibenarkan menonton. Kita sudah menjadi Negara “apartheid” sekarang ini. Beza nya kita guna agama untok memisahkan rakyat dan regim apartheid Afrika Selatan pula menggunakan ras atau warna kulit. Jangan lah mengambil pendekatan mudah saperti BN dan UMNO. PAS mestilah menunjokan keupayaan membuat keputusan mentadbir yang lebih harmonis, lembut dan mengambil kira semua aspek kehidupan. Kalau tidak, rakyat yang lebih sederhana pemikiran dan amalan hidup mereka, dan dari golongan muda, akan menganggap PAS parti yang ekstrem. Ini akan menjejaskan peluang PAS untuk memerintah Kerajaan Pusat. Mungkinkah PAS sekarang tidak berminat lagi untuk menang pilihan raya atau memerintah Kerajaan Pusat kerana lebih suka berjuang untuk mengharamkan itu dan ini daripada menggunakan hikmah dan kebijaksanaan sebagaimana yang diajar oleh tokoh-tokoh besar Islam?

Malah, dari peringkat tertinggi PAS pula, Timbalan Presidennya Nasharudin Mat Isa mendesak kerajaan supaya mengekalkan hukuman rotan terhadap seorang wanita Islam yang didapati bersalah minum beer. Pemimpin PAS itu merasakan itulah cara terbaik untuk menunjukan amalan Islam kepada dunia. Orang-orang “kafir” di Barat yang mendalam ilmu “jurisprudence” hukum mereka, selalunya tidak mengenakan hukuman berat kepada orang yang melakukan kesalahan buat kali pertama, kecuali bila menerima hukuman mandatori. Mereka mengambil kira fakta lain dalam pertimbangan mereka bagi pesalah kali pertama, terutama bagi orang yang telah mengaku secara sukarela bahawa mereka bersalah. Dalam kes wanita Islam itu, dia telah pun mengaku salah dan menyesali perbuatannya. Setahu saya cerdik-pandai agama Islam juga banyak bercerita tentang firman-firman Allah yang menggalakkan kita supaya memaafkan orang yang sedar perbuatan salah mereka.

Dalam hal ini saya menganggap tindakan dan kenyataan Perdana Menteri supaya hukuman rotan ini digunakan sebagai langkah terakhir atau “last resort” adalah wajar dan berpatutan. Ingatlah bahawa Islam bukan agama birokrasi; ia penuh hikmah dan kebijaksanaan. Kalau tidak masakan tamadun Islam begitu gemilang dan dihormati dunia pada suatu masa dahulu. Jadi saya harap Mahkamah Syariah di Pahang tak payahlah tunggu pesalah membuat rayuan; mereka ada kuasa untuk menyemak dan mengkaji semula keputusan mereka, sama seperti mahkamah-mahkamah lain di dunia ini.

Saya juga berharap bahawa rakan-rakan PAS saya dalam Pakatan Rakyat supaya memikirkan semula perkara ini. Jika benar kita berjuang untuk menegakkan keadilan, perkara paling utama yang mesti kita perangi habis-habisan adalah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta perbuatan mengapi-apikan sentimen kaum dan agama. Semua ini boleh menghancurkan masyarakat. Pengalaman menunjokan bahawa ada kerajaan Islam di luar negara hari ini yang ghairah nak tangkap dan sebat orang Islam masih bergelumang dengan najis rasuah dan penyelewengan. Banyak pula anak muda mereka terjebak dengan dadah, dan mengandong tanpa bapa. Banyak lagi perkara yang Pemuda Pas boleh memberi perhatian yang hasilnya tentu lebih memberi manfaat kapada orang Islam. Imej Islam yang macam mana kita mahu mempamerkan?

Calon BN

August 21, 2009

Kalau anak-anak kita berniat atau bercita-cita mahu menjadi peguam, maka syarat kelayakan perlu diberitahu kepada mereka terlebih dahulu. Selain dari mendapat ijazah undang-undang, mereka mestilah mempunyai rekod yang menunjukkan mereka adalah “a fit and proper person”. Peguam mestilah seseorang yang tidak melakukan perkara jenayah, tidak muflis dan tidak menipu. Malah dia tidak boleh melakukan apa-apa saja perbuatan yang boleh dianggap cemar atau menunjukkan buruk pekerti. Oleh kerana kerjanya melibatkan orang ramai, maka kepercayaan orang ramai kepadanya mestilah kukuh dan tidak terjejas. Dia tidak boleh pecah amanah. Itulah syarat-syarat asas nak jadi peguam .

Lainlah kalau anak-anak kita bercita-cita nak jadi wakil rakyat Barisan Nasional. Untuk mencapai cita-cita itu, dia tidak memerlukan rekod yang baik atau bersih dalam hal urusannya dengan orang ramai. Lihat sahajalah calon BN untuk pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, iaitu Rohaizat Othman, yang telah digugurkan dari menjadi peguambela dan peguamcara oleh Majlis Peguam kerana syarikat guamannya menggunakan wang kliennya , sabuah koperasi,kira-kira RM160,000. Peguam tidak boleh menggunakan wang pelanggan mereka selain dari tujuan asal wang itu diberi kepada peguam tersebut untuk disimpan.

Orang kuat UMNO Zahid Hamidi, yang kini menjadi Pengerusi UMNO Pulau Pinang, dan Ketuan Penerangan nya menganggap Rohaizat sebagai ‘hero”telah mempertahankan Rohaizat sebagai pilihan terbaiknya. Tak mahu ketinggalan , Muhyiddin Yassin turut menyokong Zahid. Apa lagi mereka nak buat, dah tak ada calon lain. Lalu mereka berkata kesalahan calon itu sebenarnya isu persepsi semata-mata. Mereka tuduh bekas rakan kongsi Rohaizat bernama Yusri yang bersalah. Tak pasal-pasal orang lain kena.

Majlis Peguam pecat Rohaizat lama sabelum hari penamaan calon. Majlis Peguam tidak tahu BN akan pilih Rohaizat. Mereka membuat keputusan berdasarkan penyiasatan rapi. Mahkamah Tinggi pula telah pun mendengar rayuan Rohaizat dan menolaknya; ia mengekalkan keputusan Majlis Peguam yang telah menggugurkannya sebagai seorang peguam. Jadi bila para pemimpin UMNO kata itu soal persepsi, mereka jelas tidak mengerti makna perspesi. Mereka cuba menutup hakikat sabenar. Apakah mereka ingat rakyat Malaysia masih jahil? Malah bila rakyat berkata UMNO sekarang terlalu perkauman, penuh dengan rasuah dan gila kuasa, para pemimpinnya pun kata itu persepsi. Tetapi kita tahu ini semua bukan persepsi. Ini semua ada bukti dan asasnya. Perkataan persepsi itu tidak boleh digunakan bila ada asas kukoh. Persepsi ertinya tanggapan yang tidak ada asas.
.

Begitulah UMNO. Kepada mereka, orang yang tak layak jadi peguam, masih layak untuk menjadi wakil rakyat. Nampaknya soal amanah dan akauntabiliti kepada rakyat sudah tidak penting lagi buat UMNO. Itulah nilai politik parti keramat ini. TPM Muhyiddin Yassin , yang mulakan kempen tuduh Anwar Ibrahim pengkhianat, sekarang pula membelasah Majlis Peguam, kononnya badan itu ada agenda sendiri untuk membantu pihak pembangkang. Sedangkan Majlis Peguam hanya menjelaskan keputusan yang diambil oleh mereka mengikut lunas undang-undang. Mahkamah Tinggi pun sudah setuju dengan Majlis Peguam. Agak nya dalam pemikiran Muhyiddin, Mahkamah Tinggi juga ada agenda lain. Bagitulah UMNO, selagi kita tak setuju dengannya, semua pihak dianggap ada muslihat menentangnya. UMNO kini hidup dalam ketakutan.. Semoga orang Permatang Pasir sudah bersedia untuk memberi pengajaran kepada UMNO..

Program Bulan Ogos 2009

August 19, 2009

8 Ogos 2009

9 malam: Ceramah Umum, di Kangar Perlis

11 Ogos 2009

9.00 malam : Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Chua Jui Meng di Rembau. Kemunculan khas ITO dan Pyanhabib membuat persembahan

12 Ogos 2009

9.00 malam : Pidato Rakyat di Dewan Harmonis, Sekinchan, Selangor bersama YB Yusmadi Yusoff

13 Ogos 2009

9.00 malam : Ceramah di Kapar, Selangor

15 Ogos 2009

9.00 malam : Ceramah Umum di Kota Bharu (Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu) bersama YB Datuk Wan Abd Rahim Abdullah (Cikgu Rahim)

19 Ogos 2009

9.00 Malam : Ceramah bersama Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Pasir Puteh, Kelantan

20 Ogos 2009

8.00 malam : Makan Malam & Ceramah Umum di Kuala Pilah

21 Ogos 2009

8.00 malam : Ceramah Umum di Kota Kinabalu, Sabah

Catatan: Semua program adalah tertakluk kepada perubahan pada saat akhir

PAS-Dulu Dan Sekarang

August 18, 2009

Saya telah dijemput untuk menghadiri satu seminar anjuran PAS di Kota Bharu pada Sabtu lalu (15 Ogos). Terima kasih saya ucapkan kepada pimpinan PAS Kelantan kerana penghormatan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Maklumlah sayalah orang yang menyaman kerajaan negeri pada suatu masa dulu berhubung soal hukum hudud. Namun sebagaimana yang pernah saya jelaskan dahulu, saman itu dibuat atas dasar perundangan dan Perlembagaan, dan tidak ada kena-mengena dengan agama. Kalau ingin tahu lebih lanjut hal itu, saya telah jelaskan dalam buku saya “Saya Pun Melayu”.

Yang menarik dalam seminar Sabtu lalu adalah perbincangannya berkisar hal-hal dalamam dan permasalahan parti yang diperkatakan secara terbuka. Itulah tanda keterbukaan PAS masa kini. Seminar itu diadakan di dewan Kelantan Trade Centre, sebuah bangunan canggih bertaraf 5 bintang, untuk membuat post-mortem keputusan pilihan raya kecil Manek Urai serta merangka perancangan kekuatan PAS di masa depan. Kalau dalam tahun 1990 dulu bila UMNO teruk, pemimpin mereka berkata PAS hanya dapat bertahan satu penggal saja. Kini terbukti PAS telah memerintah Kelantan selama lima penggal dan sekarang menguasai Kedah pula. PAS telah bertambah maju manakala UMNO bertambah tempang.

Di seminar itu, saya telah mencadangkan PAS supaya jangan berpuas hati sebagai parti orang Kelantan sahaja. PAS, sebagai rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat, dan sekarang berkuasa di Kedah, harus befikir sebagai parti nasional. Putrajaya mesti menjadi sasaran PAS dan Pakatan Rakyat. Amatlah perlu PAS meneroka jalan baru dalam usahanya meluaskan pengaruh. Bukan saja intipati mesej politiknya perlu disampaikan dengan yang lebih canggih, pendekatan baru juga diperlukan supaya lebih ramai orang Melayu dan Islam menerimanya. PAS harus yakin bahawa ia adalah alternatif kepada UMNO untuk orang Melayu.

Pada masa yang sama, mesej politik PAS pula mestilah mendapat sokongan semua kaum, atau sekurang-kurangnya orang bukan Islam tidak menentang atau menolak PAS. PAS mesti memperjuangkan hak asasi maanusia atau ‘human rights” yang memangpun dituntut oleh Islam. PAS perlu menerima hakikat bahawa Malaysia ada lebih 100 suku kaum dan kepercayaan agama yang berbeza. Saya setuju dengann kata-kata YB Dato Nik Amar Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, iaitu cara atau proses penyampaian sama pentingnya dengan dasar dan intiparti perjuangan parti. Kita mesti bulatkan kata. Jangan pula pepat di luar, pencong di dalam.

Walau pun sudah banyak perubahan dalam PAS hari ini berbanding tahun-tahun 1990an dahulu, masih ada segolongan kecil pemimpin mereka yang was-was tentang cita-cita parti lain dalam Pakatan Rakyat. Mungkin ada juga parti lain dalam Pakatan yang turut syak wasangka terhadap PAS. Ini mesti berubah dan perlu diatasi oleh pucuk pimpinan Pakatan. Hanya kekuatan muafakat sebenar dari ketiga-tiga parti Pakatan ini mampu mengatasi Barisan Nasional.

Kita tahu UMNO akan sentiasa mempermainkan cita-cita kita dalam Pakatan kerana memang tabiat mereka suka memperlekehkan keupayaan orang lain. Bukan sahaja Pakatan, malah orang Melayu dan Islam yang mereka tak suka juga mereka hina dan jatuhkan maruah. Tetapi itu tidak mengapa. Gabungan PAS, KeADILan dan DAP serta parti parti lain di Sabah dan Sarawak mampu mengatasi BN jika pilihan raya yang bersih dan adil dapat diadakan. Syaratnya kita mesti teguh bersatu. Ketiga-tiga parti Pakatan ini tahu bahawa mereka hanya mampu mengatasi BN dengan dasar yang kukuh dan kemas yang dicapai secara perundingan dan konsensus serta boleh dipercayai oleh rakyat semua kaum.Menjadi rakan hanya untuk membantu dalam masa berkempen pilihan raya tidak cukup. Kita harus menjadi sahabat dan saudara seperjuangan untuk memastikan berakhirnya era ketidakadilan UMNO dan BN.

Pucuk pimpinan ketiga-tiga parti ini sudah pun bersetuju dengan prinsip-prinsip utama perjuangan Pakatan Rakyat. Cuma huraian yang terperinci perlu dibuat di atas platform dan dasar bersama ini. Jika ini dapat dipenuhi dengan isi yang memuaskan, maka proses untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu gagasan atau wadah rasmi akan berjaya tidak lama lagi. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, apa-apa isu remeh dan salah faham sesama pemimpin dan ahli perlu diselesaikan segera. Rakyat pula diharap bersabar dengan proses ini. Saya yakin jika rakyat dapat menanggung sengsara UMNO dan BN lebih 50 tahun, apa salahnya diberi peluang untuk Pakatan bersiap sedia mengharungi badai politik. InsyaAllah hasrat rakyat melihat Pakatan bersatu melawan BN satu lawan satu akan tercapai juga akhirnya.

Pilihan raya kecil di kawasan “pengkhianat”

August 14, 2009

Muhyiddin Yassin sekali imbas nampak seperti serorang yang tenang dan tidak gopoh-gapah. Dia berusaha keras untuk menaikkan imejnya sebagai bakal Perdana Menteri. Pakaiannya sekarang pun nampak lebih bergaya dan ada stail berbanding dahulu. Sayangnya, usaha beliau untuk memperbaiki imej itu sia-sia sahaja bila dia akhirnya menampakan sikap ekstremnya yang lama terpendam. Entah apa tujuannya, dengan tak semena-mena dia menuduh Anwar Ibrahim sebagai seorang pengkhianat kepada bangsa Melayu. Itu satu tuduhan liar dan tidak sepatutnya dibuat oleh seorang ahli politik yang bercita-cita nak jadi Perdana Menteri. Lagi pun dulu Anwar itu pemimpin pujaan Muhyiddin sewaktu dalam Team Wawasan. Siapa agaknya pengkhianat? Alangkah baik Muhyiddin bentang tindakan kerajaan mengatasi wabak selsema A(H1N1) yang lebih berkesan dari melaung kosong.

Anwar Ibrahim kini adalah Ketua Pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Ketua Pembangkang ada peranan yang sah dalam sistem demokrasi berparlimen. Secara langsung, beliau mewakili separuh daripada jumlah pengundi Malaysia (4 juta) yang telah memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu. Sepatutnya Anwar diberi penghormatan yang sewajarnya kerana kedudukan beliau yang sah dalam Parlimen negara kita. Di negara-negara yang lebih faham tentang selok-belok demokrasi, yang tahu tata susila politik moden, yang tahu erti peranan yang berbeza di antara kerajaan dan pembangkang, Ketua Pembangkang amat dihormati. Malah Perdana Menteri di negara-negara yang matang demokrasi sentiasa menjemput Ketua Pembangkang untuk membincangkan hal-hal negara demi kepentingan umum. Mereka ketepikan politik kepartian demi rakyat dan negara. Ketua Pembangkang tidak dianggap sebagai musuh yang mesti dimaki dan cerca setiap masa. Cuma di Malaysia dan Myanmar, pemerintah ghairah nak tangkap pemimpin pembangkang.

Sejak dulu sampai sekarang, UMNO menganggap rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, adalah kurang cerdik. Sebab itu macam-macam tuduhan dan fitnah dibuat terhadap Pakatan Rakyat, dengan harapan rakyat akan percaya bulat-bulat. Saya ingin bertanya, bagaimana Anwar mengkhianati orang Melayu? Yang saya tahu Anwar telah berusaha keras untuk membuka mata Melayu tentang kepincangan dalam dasar UMNO atau lebih tepat lagi, dasar UMNO Baru. Hari demi hari makin ramai orang Melayu memahami apa yang Anwar sampaikan. Kerana inilah Muhyiddin dan pemimpin UMNO lain mula takut.

Nasihat saya kepada Muhyiddin dan pengikut-pengikutnya ialah kalau pun huraian Anwar mengenai UMNO tidak disetujui, sila jawab hujah-hujah Anwar. Tak payah nak jadi hero Melayu dengan menuduh Anwar pengkhianat bangsa. Takkanlah kerana takut atau malu nak jawab hujah, terus tuduh orang secara liar. Kita tahu memang susah untuk Muhyiddin menjawab hujah-hujah Anwar kerana kelemahan orang Melayu timbul daripada berbagai sebab dan punca. UMNO yang memerintah sekian lama tidak boleh lari dari bertanggung jawab dalam hal ini. Ada baiknya Muhyiddin baca tulisan Suflan Shamsuddin di Malaysia Today mengenai siapa yang menjadi “pengkhianat” kepada Melayu.

Nasib kita di Malaysia malang sekali. Pemimpin kerajaan BN takut benar hilang kuasa. Takut kalau rakyat akan memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Mereka takut kepada Anwar Ibrahim sehinggakan menuduhnya pengkhianat dan “sodomist”. Mereka hanya tahu buat tuduhan liar. Ini kerana mereka tak mampu nak lawan dasar dan politik mesra rakyat yang dibawakan oleh Ketua Pembangkang secara hujah dan fakta dengan sopan dan tertib. Muhyiddin dan para pemimpin UMNO tidak faham yang orang lain juga ada pandangan dan pendirian politik yang tersendiri. Mereka hanya mahu orang Melayu ikut telunjuk UMNO sahaja. Ketakutan itulah yang membuat Muhyiddin dan hulubalang-hulubalangnya berteriak “pengkhianat” apabila berdepan dengan Anwar. Mereka sangka rakyat akan percaya fitnah ini untuk membolehkan mereka mengguna apa cara sekali pun termasuk kekerasan untuk menahan kemaraan Anwar yang membawa politik telus dan mesra rakyat.

Pilihan raya kecil Permatang Pasir akan menjadi kayu pengukur sejauh mana “kejayaan” taktik kotor UMNO dan BN yang selalu digunakan terhadap lawannya. Selepas pilihan raya kecil Manik Urai, UMNO kini kembali sombong seperti dahulu; mereka yakin ada peluang yang baik. Mereka ada “formula Manik Urai” yang akan digunakan di Permatang Pasir. Kita semua tahu “formula” ini dan saya harap pengundi Permatang Pasir cukup matang untuk menerima atau menolak “formula” UMNO dan BN nanti. Tetapi jangan sekali-kali tukar pilihan hati sanubari kita.

Jika kita mahu kepada kebenaran, keadilan dan ketelusan, ingatlah bahawa PAS adalah rakan Pakatan Rakyat. Pilihlah calon PAS untuk pilihan raya kecil ini. Saya yakin segala masalah remeh antara parti-parti dalam Pakatan akan diselesaikan dengan baik. Semua ahli parti harus bekerjasama demi kepentingan rakyat. Semoga PAS dan Pakatan Rakyat akan berjaya. Ini adalah antara langkah awal kita untuk menolak UMNO dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, demi demokrasi dan negara yang lebih bermaruah, aman dan makmur tidak lama lagi.

Semalam Di Kangar

August 9, 2009

Saya telah dijemput oleh Sdr Johari Shafie dan badan perhubungan Parti Keadilan Rakyat Perlis untuk berceramah di Kangar pada malam semalam (8 Ogos). Apa yang menarik hati saya adalah minat dan semangat yang ditunjukkan oleh KeADILan Perlis, walau pun setakat ini belum memenangi sebarang kerusi dan kini sedang dalam proses untuk menambah jumlah ahli. Saya gembira melihat kesungguhan dan komitmen. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan Sdr Firdaus, seorang anak muda dari Pulau Pinang yang aktif dan berminat dalam politik. Memang cabaran besar dan tidak mudah bagi KeADILan untuk mencari pengaruh dalam masa yang singkat. Tetapi saya melihat bahawa KeADILan semakin bertapak di hati rakyat hari demi sehari. Itulah masa depan KeADILan kerana daya tarikannya adalah “keadilan”. Bukan sahaja di Perlis tetapi di mana-mana juga, rakyat khususnya orang Melayu yang berkelayakan dan berpengalaman sudah “masak” benar dengan UMNO yang semakin celaru. Mereka yang sedar sudah sedia untuk berhijrah mencari wadah perjuangan yang lebih sesuai untuk semua; malah lebih baik dari UMNO dalam menjamin hak dan kepentingan orang Melayu. Melayu dan bukan Melayu di bandar dan luar bandar kini menaruh harapan supaya KeADILan dapat memperjuangkan dasar yang konkrit dan bernas.

Malam saya di Kangar, saya berucap ringkas mengenai betapa mustahaknya kita mengutamakan isu-isu penting dalam mengukuhkan KeADILan di samping menjayakan Pakatan Rakyat. Dalam politik, memang tak boleh dielakkan, akan ada bermacam isu dan karenah pemimpin serta ahlinya. Kalau tak berhati-hati, kita boleh tenggelam dek kekalutan menyelesaikan tomahan, kehendak dan desakan pihak-pihak yang tidak berpuas hati. Dalam keadaan yang kalut ini, kita sering lupa perkara-perkara yang mustahak serta perjuangan pokok kita. Bagi saya, itu cara yang merugikan.

Saya mencadangkan supaya kita semua dalam Pakatan Rakyat menentukan focus kita dan mengenal pasti perkara-perkara pokok yang boleh dan patut dipersetujui bersama. Sesudah itu kita gubal dasar dan perancangan yang akan kita laksanakan apabila diberi mandate oleh rakyat untuk mentadbir negara nanti. Dengan cara ini rakyat boleh menilai parti atau gagasan mana yang lebih berupaya untuk menerajui kerajaan pusat. Jika kita tidak bergerak sekarang, sampai bila-bila pun kita akan terkandas dengan remeh politik.

Saya mencadangkan empat (4) perkara pokok, iaitu:

Pertama, Pakatan Rakyat mesti sanggup menyatu padukan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. Pakatan rakyat mesti hidup dan kembalikan impian Tunku Abdul Rahman dan pemimpin kemerdekaan yang lain. BN telah gagal dalam hal ini.Pakatan mesti menolak amalan diskriminasi antara rakyat dengan menggubal satu undang-undang anti-diskriminasi. Ini sahajalah yang boleh menyelamat dan memajukan negara kita. Perlu saya tegaskan bahawa cadangan ini tidak menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera secara khusus yang telah ditetapkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk diskriminasi yang tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan. Jangan kita dengar fitnah UMNO dan Utusan. Rakyat bukan Bumiputera sejak Merdeka tak pernah menuntut supaya Perkara 153 dihapuskan. Itu adalah persefahaman rakyat antara kaum di Malaysia. Dengan itu, Pakatan Rakyat akan terus membela keistemewaan bumiputra dan dalam masa yang sama menjamin hak bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia. Rang undang-undang yang saya cadangkan ini adalah untuk memastikan orang Cina dan India tidak boleh mendiskriminasi orang Melayu, dan Melayu dan kerajaan Melayu tidak boleh mendiskriminasi Cina dan India serta kaum-kaum lain. Maksudnya tiada siapa boleh buli atau tindas sesiapa kerana kita akan mempunyai undang-undang yang akan menghalang kezaliman itu. Hanya hal spesifik yang termaktub di bawah Perkara 153 akan terus dikekalkan. Kita tahu Perdana Menteri yang beria-ia dengan 1Malaysia tidak berani dan tidak sanggup menerajui UMNO untuk bersetuju dengan cadangan ini. Hanya Pakatan Rakyat akan mampu melaksanakannnya.

Kedua, Pakatan Rakyat mesti menggubal satu dasar ekonomi yang mempuyai ciri-ciri “safety net” iaitu menjamin perlindungan kepada rakyat berpendapatan rendah untuk memperolehi pendapatan yang cukup, kemudahan pemilikan tanah dan rumah, bekalan makanan dan kemudahan asas yang lebih baik dari apa yang dijanjikann oleh BN sekarang. Negara kita bukan negara miskin. Malah kita semua sepatutnya hidup makmur dan sejahtera kalau kita kurangkan pembaziran dan kebocoran kerana rasuah dan penyelewengan. Pakatan tetap komited untuk basmi rasuah kerana kita sedar negara akan mempunyai cukup wang bagi membiayai peruntukan-peruntukan ini.

Ketiga, Pakatan Rakyat mesti menggubal dasar pelajaran yang lebih sesuai dengan keperluan negara supaya orang Melayu dan kaum Bumiputera khususnya mempunyai bakat dan kemampuan untuk lebih mampu bersaing atau kompetitif. Saya lihat sistem pelajaran sekarang hanya menumpukan kuantiti dan bukan kualiti, selain Menteri yang selalu cakap besar sahaja. Antara cadangan saya ialah kajian yang menyeluruh untuk memperbaiki kelemahan mata pelajaran yang diajar, mutu guru dan tenaga pengajar termasuk dasar pemilihan kemasukan mereka untuk dilatih sebagai guru serta penglibatan ibu bapa dengan pihak sekolah untuk menentukan mutu pelajaran yang terbaik kepada anak-anak kita. Kita tahu bajet pelajaran amat besar tetapi ke mana perginya wang itu semua jika anak-anak kita masih tidak mendapat pendidikan yang baik di sekolah, kolej dan universiti. Rombakan besar-besaran perlu dibuat dari peringkat tadika hingga ke institut pengajian tinggi.

Keempat, Kerajaan Pakatan Rakyat mesti bebas dan tidak sentiasa menakutkan rakyat. Ia perlu bersikap terbuka dalam mendengar dan menerima kritikan rakyat. Ini hanya boleh berlaku dengan mewujudkan kerajaan yang demokratik dan bebas. Ini bererti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta melonggarkan peruntukan yang memberi terlalu banyak kuasa kepada pihak berkuasa seperti yang terkandung dalam Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan banyak lagi undang-undang yang tidak mesra rakyat. Ini juga bererti institusi kerajaan seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Mahkamah perlu reformasi besar supaya mereka lebih adil, jujur, profesional dan berkemampuan untuk menjaga kepentingan rakyat. Hari ini kebanyakan institusi dilihat sebagai alat kerajaan dan bukannya badan melindungi rakyat. Negara yang berteraskan undang-undang atau mengamalkan “rule of law” mampu menggubal undang-undang yang adil dan saksama supaya rakyat dapat merasai dan memahami erti sebenar keluhuran undang-undang.Penubohan Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court juga perlu dipertimbangkan.

Saya yakin apabila Pakatan Rakyat bersetuju dengan matlamat pokok di atas,keyakinan orang ramai akan bertambah. Ia akan membuat para pemimpinnya sibuk berusaha mengisi matlamat tersebut dan tidak akan ada masa untuk bertengkar dalam hal yang remeh-temeh. Apabila kita tumpukan usaha kita kepada soal dasar dan pokok, maka mudahlah kita menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin dalam Pakatan. Dan UMNO sukarlah sadikit untok masok jarum. Dengan itu, rakyat terutamanya orang Melayu tidak akan mudah termakan fitnah UMNO dan Utusan yang kini rancak untuk memecahbelahkan perpaduan kita. Akhirnya rakyat sendiri akan menolak hasutan perkauman Utusan yang cuba membakar api perkauman Melayu.

Kalau kita tumpukan kepada perkara pokok, rakyat juga akan merasa selesa bahawa Pakatan Rakyat bukan hanya parti “anti ISA” sahaja. Rakyat ingin melihat gabungan alternatif yang mampu memerintah dengan adil dan dalam masa yang sama memajukan negara kita. Rakyat mahu melihat bagaimana kita mampu menubuhkan kerajaan. Pakatan Rakyat mesti menjadi gagasan yang ada isi atau “substance” dengan dasar yang baik dan berani. Rakyat tidak mahu melihat Pakatan sebagai kumpulan yang hanya berkerjasama sewaktu pilihan raya, tetapi masing masing mempunyai perjuangan politik yang usang saperti UMNO. Mereka mahu melihat mulai sekarang bayangan dasar kerajaan Pakatan yang mampu mengisi dan menggantikan yang sedia ada. Pemerintahan negara secaraUMNO dan BN sudah semakin tidak disukai ramai. Jadi kita dalam Pakatan perlu bertanggunggjawab menyahut seruan dan harapan rakyat.Kita buktikan Muhiyuddin salah bila dia kata Pakatan akan hancur tahun depan

Saya bersyukur kerana pertemuan saya dengan kawan-kawan di Kangar pada malam itu banyak memberi saya inspirasi yang sebenarnya diilhamkan sendiri oleh rakyat yang mahukan perubahan baik untuk negara kita. Dari aspirasi rakyat, saya tahu mereka kadang-kadang bosan dengan telatah sesetengah pemimpin Pakatan tetapi jiwa mereka tetap mahu kepada kerajaan alternatif yang lebih baik dari UMNO dan BN. Inilah cabaran buat Pakatan.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.