Saya berkesempatan berbuka puasa dengan ahli-ahli PAS dan KeADILan di Machang dan Tumpat, Kelantan minggu ini. Seperti biasa, ruang diberi oleh pihak penganjur untuk saya berucap ringkas . Di majlis tersebut, saya memberi pandangan dan penekanan dalam beberapa perkara. Saya tumpukan kepada usaha mencari jalan mengukuhkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat dan formula untuk menang pilihan raya umum akan datang.
Pakatan Rakyat adalah gagasan politik yang baru. Jadi ia mesti sanggup membawa mesej dan idea poltik dan pentadbiran yang baru, yang berbeza dengan Barisan Nasional. Tidak ada makna kalau rakyat hanya menukar kepimpinan negara dengan orang baru kalau arah tuju dan dasar pentadbiran tidak jauh bezanya dengan cara UMNO sekarang. Tidak cukup kalau kita hanya mengkritik UMNO dan BN. Kita mesti bersedia menggariskan intipati perjuangan serta dasar politik yang lebih mulia, dinamis dan saksama berbanding dengan UMNO. Persoalan untuk diri kita sendiri adalah, apakah kita akan teruskan amalan menggunakan wang rakyat ratusan juta untuk projek”glamour” seperti perlumbaan F1 sedangkan ada kumpulan orang Asli ( Orang Asal) di Pahang yang hidup dengan pendapatan 20 ringgit sabulan. Dan ramai lagi rakyat tidak ada bekalan elektrik dan air? Apakah kita akan terus mentadbir PETRONAS secara rahsia seperti sekarang dengan hanya Perdana Menteri dan Lembaga Pengarahnya sahaja yang tahu di mana wang dibelanjakan?
Selain dari dasar pentadbiran, kepimpinan dan ahli Pakatan Rakyat mesti dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka juga sanggup berubah. Berubah dari nilai politik dan kefahaman yang lama, dan sanggup memikirkan kepentingan kumpulan sebagai lebih penting dari kumpulan parti masing-masing. Cara dan skop muafakat pilihan raya PAS, DAP dan KeADILan yang mungkin memadai untuk menang 82 kerusi dalam tahun 2008 sudah tidak lagi cukup untuk menang minimum 115 kerusi Parlimen bagi menubuhkan Kerajaan Pusat.
Pentadbiran 4 negeri yang ada dalam Pakatan sekarang sepatutnya sudah dapat menunjukkan muafakat yang lebih erat dengan dasar-dasar yang berani dan selari antara satu negeri dengan negeri yang lain. Ini termasuklah dasar perumahan rakyat yang memuaskan serta kerjasama antara negeri yang lebih memberangsangkan. Ini memerlukan mesyuarat Mentrei Besar/Ketua Menteri dari negeri-negeri Pakatan yang berteraskan agenda yang kukuh. Mereka perlu bertukar pengalaman dan kepakaran. Biar rakyat nampak mereka bersatu. Biar rakyat nampak mereka tolong-menolong; inilah cara yang boleh memberi keyakinan kepada rakyat. Mereka juga harus kerap bermesyuarat; kalau boleh sebulan sekali.
Kalaulah kita selalu memperkatakan tentang perlunya Kerajaan Pusat yang telus dan tidak korup, maka kerajaan-kerajaan negeri Pakatan yang ada mestilah bersepakat untuk bersetuju mencuba idea-idea baru. Apa kata kita terima cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi Majlis Berkuasa Tempatan pada satu tarikh yang ditetapkan. Ini antara cara yang dapat mengurangkan rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang lebih efisien. Biar kita beri kuasa kepada rakyat untuk menentukan dasar-dasar di kawasan mereka. Biarlah pemimpin majlis berkuasa tempatan, seperti Shah Alam misalnya, dapat menentukan sendiri di mana dan berapa banyak masjid, surau, kuil dan gereja harus dibina; berapa banyak parit dan longkang perlu dibina atau dibersihkan; bagaimana mencari sumbe kewangan untuk melaksanakan perkara-perkara yang disebutkan itu. Lebih baik jika ahli-ahli majlis berkuasa tempatan itu dipimpin oleh mereka yang dipilih oleh penduduk-penduduk di kawasan itu. Baru ada amalan demokrasi secara langsung di peringkat akar umbi. Baru nampak keadilan. Baru penduduk ada amanah dan tanggungjawab, dan bukan hanya menadah tangan mengemis dari kerajaan negeri atau Pusat.
Malah, majlis tempatan ini juga boleh menentukan sendiri kuota bumiputera dalam skim perumahan yang sering menimbulkan masalah kepada kerajaan-kerajaan negeri. Biarlah majlis tempatan yang meluluskan pelan perumahan dan menentukanya berdasarkan kepada keperluan kawasan itu. Lagi pun cara sekarang yang tentukan kuota 30% atau 50% atau 70% adalah kaedah ciptaan UMNO yang telah menimbulkan banyak masalah.
Sebagai contoh di Selangor, kita mampu untuk bertindak lebih canggih dalam membantu keperluan orang miskin dan bumiputera dalam hal-hal perumahan dengan menggunakan agensi kerajaan seperti PKNS untuk mengisi keperluan ini tanpa bergantung kepada syarikat pembinaan swasta. Jika perlu, PKNS boleh membina 100% untuk bumiputra.dan orang yang memerlukan tanpa mengira kaum. Jangan cari jalan mudah di mana PKNS hanya suka buat “joint venture” dengan pemaju besar dan serah tanah kepada mereka untuk menerima “keuntungan” dan menentukan quota. Amalan ini bukan sahaj malas tetapi juga tidak amanah kepada rakyat yang mengharapkan bantuan kerajaan.
Untuk mencapai matlamat, ahli-ahli dalam parti-parti komponen Pakatan Rakyat hususnya perlu sentiasa komited dalam perjuangan mereka. Parti-parti dalam Pakatan pula mestilah tidak ada was-was dan syak wasangka antara satu sama lain. Soal siapa ada lebih banyak ahli atau siapa lebih berpengaruh dalam satu-satu kawasan pilihan raya, janganlah ia menjadi perhitungan buat masa ini. Ingatlah, matlamat kita ialah untuk mendapatkan sokongan rakyat; tak kira sama ada mereka ahli parti komponen Pakatan atau pengundi atas pagar. Kalau kita nak bermegah dan tunjuk lagak sesama sendiri, jangan terkejut kalau rakyat akan meluat kepada kita.
Yang penting kita mesti perkukuhkan parti masing-masing tanpa rasa curiga. Di peringkat negeri, parti yang memerintah wajar tolong parti yang kecil kerana parti inilah yang membantu mereka dalam kemenangan tempoh hari. Perhitungan yang sepatut ada dalam perkiraan kita ialah bagaimana kita dapat menang dalam pilihan raya, dan memperkukuhkan Pakatan rakyat untuk melawan BN. Itu mesti menjadi keutamaan.
Kalau kita merasakan perjuangan parti kita akan “tercemar” apabila berada dalam Pakatan yang sememangnya dianggotai oleh parti-parti yang berbeza ideologi, dan takut kononnya ahli-ahli kita akan “lari” kerana kita berkongsi peranan dan berkerjasama dengan parti lain, maka muafakat ini akan menjadi rapuh dan mudah luluh. Kalau kita tidak sanggup membuka minda dan berani mencuba pendekatan baru seperti mempersetujui calon yang tebaik dengan lebih awal tanpa perlu bertarik tali ke saat-saat akhir hari penamaan calon, kita tidak akan berjaya membina politik baru di Malaysia.
Rakyat sedang meniliti dan membuat perhitungan sama ada mereka akan terus memberi sokongan kepada Pakatan. Saya percaya mereka akan berbuat demikian bila mereka berkeyakinan bahawa kita akan menjadi kerajaan alternatif yang berwibawa. Mereka sedang melihat Pakatan sebagai pembangkang di peringkat Pusat. Jika rakyat yakin kita mampu memerintah kerana kita lebih telus, jujur dan berani daripada UMNO dan BN, maka tak lama lagi kita mampu membentuk Kerajaan Pusat dengan mandat rakyat dan restu Ilahi.