Archive for February 2010

Ku Li

February 27, 2010

Saya tertarik dengan kenyataan Tengku Razaleigh bahawa beliau masih setia kepada prinsip dan perjuangan UMNO. Hati saya berkata mungkin beliau maksudkan perjuangan dan “legacy” zaman Tunku Abdul Rahmand, Tun Razak dan Tun Dr Ismail. Kita semua tahu tak ada prinsip dan “legacy” UMNO Baru yang perlu Ku Li bela dan pertahankan. Malah dari kenyataan umum yang dibuat oleh Ku Li kebelakangan ini, banyak dasar kerajaan Barisan Nasional dibidas oleh Ku Li. Malah rasanya tak ada satu pun dasar UMNO hari ini yang Ku Li pertahankan sekarang. Jadi agak terkejut bila saya dengar Ku Li masih setia kepada perjuangan UMNO. Tapi siapalah saya nak mempersoalkan pendirian orang lain.

Yang saya nak utarakan hari ini ialah tentang UMNO Baru. Sebenarnya semasa UMNO Lama diharamkan dan ditutup oleh Dr Mahathir pada tahun 1987, Ku Li tidak dibenarkan masuk parti baru itu. Itu arahan Che Det. Kita tak boleh lupa dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan yang telah meluluskan UMNO Baru sebagai pengganti UMNO Lama. Kita tak harus lupa dengan keputusan Pendfatar Pertubuhan yang telah membolehkan UMNO Baru mengambil alih semua aset dan harta UMNO 1946 dan tidak membenarkan pemimpin kanan parti seperti Tengku Razaleigh dan Allahyarham Tunku Abdul Rahman menjadi ahli. Satu tindakan yang tidak bermaruah, salah dan tidak sah.

Tapi inilah budaya politik UMNO Baru. Ketepikan pemimpin sah yang mempunyai ramai pengikut dan tak perlu ikut undang-undang. Maka apakah sah sebenarnya UMNO Baru ini? Anak-anak muda yang berminat dengan politik hari ini mesti menyedari perkara ini. Jangan kita mudah lupa sejarah. InsyaAllah, bila Pakatan Rakyat diberi mandat opleh rakyat nanti, kita akan kaji semula semua ini.

Jadi kalau Ku Li nak tahu sama ada UMNO Baru ini sah, dan harta-harta yang diambil dari UMNO Lama itu sah; dan sama ada harta-harta yang diberi kepada kroni-kroni oleh pemimpin atasan UMNO Baru itu pun sah; Ku Li mestilah membantu perjuangan Pakatan Rakyat.

Kes saya dengan jaguh wartawan A Kadir Jasin yang terkenal sebagai orang yang memuja Dr Mahathir mungkin dapat memberi gambaran tentang ke mana perginya harta UMNO Lama. Kadir telah menuduh saya menjadi “orang perantaraan” dalam pembahagian harta itu kepada UMNO Baru dan orang orang tertentu. Lalu Kadir tuduh saya jadi kaya-raya. Kita tunggu drama ini di Mahkamah dan lihat siapa sebenarnya yang dapat harta-harta itu dan siapa pula yang jadi “orang perantaraan” yang sebenar.

Tapi lebih seronok lagi kalau rakyat memberi mandat kepada Pakatan Rakyat . Di bawah Pakatan Rakyat, kehakiman dan undang-undang akan dijamin adil dan saksama. Satu Suruhanjaya bebas akan kita bentuk untuk menyiasat semua penyelawengan . Kalau harta bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra yang diperolehi secara haram di zaman pemeneritahannya boleh diambil tindakan oleh kerajaan Thailand sekarang, mengapa tidak di Malaysia suatu hari nanti?

Petronas Untuk Rakyat

February 25, 2010

Parlimen akan bersidang sekali lagi mulai pertengahan Mac ini. Salah satu perkara penting yang saya harap Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat akan bangkitkan ialah memberitahu rakyat tentang tindakan Barisan Nasional yang menidakkan pembahagian hasil minyak dan gas di antara negeri dan Petronas. Isu ini bukan saja terbatas kepada hak-hak negeri seperti Kelantan terhadap hasil tersebut tetapi juga merangkumi soal pengurusan Petronas itu sendiri. Apakah pendirian pihak pengurusan Petronas dalam soal tuntutan negeri Kelantan? Petronas disebut sebagai syarikat bertaraf antarabangsa yang mempunyai pengurusan bertaraf dunia, yang tidak tunduk kepada telunjuk politik. Kalaulah ini benar, maka inilah masanya Petronas menunjukkan kebebasannya membuat keputusan. Tetapi mengapa Petronas diam membisu?

Hakikatnya, Petronas mesti tunduk kepada arahan Perdana Menteri. Inilah kuasa yang diberi kepada PM di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974. Tujuan asal dibuat begitu ialah supaya pengurusan Petronas tidak dipengaruhi oleh pihak politik yang lain seperti UMNO; maka sebab itulah arahan PM saja yang perlu diikut. Model pengurusan seperti ini yang juga sulit dalam banyak hal, sesuai pada masa Tun Razak tapi tidak wajar lagi di zaman anaknya kini. Jauh beza anak dengan bapa. Tun Razak mahu Petronas dijaga untuk kepentingan anak cucu rakyat Malaysia, bukan saja kepada kerajaan yang memerintah. Tun Razak tidak akan membenarkan orang orangnya mengambil kesempatan meraih untung dari Petronas. Dia juga tidak boros orangnya. Tapi anaknya jauh berbeza. Semasa Najib jadi Menteri Pertahanan, perbelanjaan Kementerian Pertahanan melambung 160 % di antara tahun 2001 dan 2008. Sejarah akan berulang kalau rakyat tidak berhati-hati. Rakyat bimbang dengan apa yang akan dibuatnya dengan Petronas.

Kesimpulannya, Hassan Merican sudah tidak ada lagi dalam Petronas. Sekurang-kurangnya dia dianggap CEO dan Presiden Petronas yang lebih bebas dan berkebolehan tinggi. Apa akan terjadi kepada Petronas sekarang? Siapakah yang ada dalam Badan Penasihat yang berani mempertahankan integriti pengurusan Petronas kalau PM sudah membuat arahan? Cara pengurusan dan kuasa luas PM dalam Akta 1974 itu sudah tidak sesuai lagi dalam keadaan sekarang. Dalam keadaan perniagaan global .Biarlah Petronas lebih bertanggung jawab, lebih telus dan lebih mementingkan generasi akan datang daripada kepentingan UMNO dan BN . Ini lah tuntutan politik naru tanah air.

Saya amat berharap supaya Ahli-Ahli Parlimen kita berjuang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan Petronas dari bahaya akan datang; bahaya yang sedang dicipta oleh kepimpinan UMNO dan BN sekarang. Kita jangan lupa pesanan orang tua tua agar jangan pagar yang makan padi. Isu ini bukan sekadar untuk kepentingan Kelantan saja. Ia adalah untuk kepentingan semua rakyat Malaysia dan masa depan anak cucu kita.

Tok Pa

February 20, 2010

Semasa saya dalam Kabinet dulu, Mustapa Mohamad adalah antara tiga atau empat orang Menteri yang saya hormati kerana kerajinan dan kecekapan pemikiran mereka. Lagi pun semasa saya menjadi timbalan beliau dalam Badan Perhubungan UMNO Kelantan dulu, saya tahu secara lebih dekat sikap dan sifatnya. Jadi saya amat duka cita melihat beliau yang sudah begitu terpesong dalam soal wang tuntutan negeri Kelantan mengenai hasil minyak. Seolah-olah dia tahu perkara sebenar tetapi bersungguh-sungguh benar mempertahankan dasar Kerajaan Pusat dalam hal ini.

Pertama, Mustapa kata Kelantan tidak berhak kepada royalti minyak dan cuma layak menerima “cash payment” atau bayaran tunai sebanyak 5%. Itu memang betul kerana perjanjian 1975 di antara PETRONAS dan Kelantan( dan negeri lain) menggunakan perkataan “cash payment”. Kerajaan Kelantan pun tak ada masalah dalam hal itu. Panggillah apa yang kamu suka, royalti atau “cash payment”, tapi bayarlah. Yang dikatakn wang ehsan itu pula, ia sesuatu yang lain kerana ehsan bererti kita beri atas sebab kasihan atau sebab politik.

Kedua, Mustapa kata perjanjian 1975 itu tak sah kerana sebab-sebab tertentu. Tidak pula jelas mengapa ia tidak sah. Kalau tak sah, mengapa Sabah dan Sarawak terus dibayar kerana mereka juga menandatangani perjanjian yang sama. Mengapa Terengganu dibayar semasa Barisan Nasional memerintah selama 19 tahun? Itu juga hasil perjanjian yang sama. Tok Pa kena jawab kepada rakyat soalan ini. Jangan buta-tuli ikut skrip saja.

Ketiga, Mustapa kata kawasan yang diiktiraf sebagai “territorial waters” atau kawasan perairan hanyalah 3 batu dari pantai. Apa alasan Tok Pa? Dia gunakan Akta Darurat 1969 yang sudah tidak boleh dipakai lagi. Yang wajib digunakan ialah undang-undang maritim antarabangsa yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan yang telah diterima oleh Malaysia, iaitu 12 batu.

Dia kata lagi, negeri-negeri tidak berhak kepada hasil gas dan minyak dalam kawasan “Exclusive Economic Zone” (EEZ), iaitu 200 batu dari pantai, hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada hasil dalam EEZ. Itu pun tak betul juga.

Hasil minyak dan gas ini selalunya didapati tak kurang dari 12 batu dari pantai. Kalaulah ini batasan kepada hak negeri, maka tak ada negeri dalam Malaysia yang berhak kepada hasil minyak. Sebahagian besar hasil yang ada sekarang ada dalam EEZ. Tidak ada undang-undang dalam dunia ini yang mengatakan hak kepada hasil minyak dari EEZ itu tidak boleh dituntut oleh sesebuah negeri. Hak negeri bergantung kepada perjanjian negeri-negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Misalnya, hak negeri Texas dan California kepada hasil minyak dalam EEZ bergantung kepada perjanjian negeri-negeri itu dengan Persekutuan Amerika Syarikat. Samalah juga dengan kita di Malaysia.

Adalah salah bagi UMNO memesong rakyat dengan mengatakan hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada minyak dalam EEZ dan negeri-negeri tidak ada hak. Hasil yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak juga meiputi kawasan lebih dari 12 batu dari pantai. Mengapa terus bayar jika kata tak berhak?

Sebenarnya negeri-negeri di Malaysia telah pun dengan ikhlas dan penuh kepercayaan kapada Tun Razak menyerahkan hak mereka, sama ada dalam kawasan perairan atau dalam EEZ kepada PETRONAS dalam tahun 1975 melalui “The Vesting Deed”. Sebagai balasan, PETRONAS bersetuju membayar wang tunai 2 kali setahun 5% dari hasil tersebut.
Pokoknya apa yang dipersetujui ialah, bagi setiap hasil bernilai RM100 yang PETRONAS dapat, maka RM5 perlu dibayar kepada negeri yang terlibat. Tak kiralah hasil itu datang dari telaga minyak 20 batu atau 200 batu dari persisiran pantai. Perjanjian 1975 itu tidak menyebut jarak kawasan. Itulah niat dan tujuan masa itu. Konsep seperti EEZ atau jarak kawasan perairan belum pun timbul pad masa itu kerana undang-undang antarabangsa hanya mula dipersetujui pada tahun 1982. Sebab itu perjanjian ringkas tahun 1975 menggunakan perkataan “offshore” atau persisiran pantai.

Makna dan niatnya ialah apa-apa yang PETRONAS dapat, ia kena bagi 5% kepada negeri. Tak disebut EEZ, tak sebut berapa batu, tak sebut kawasan perairan dan sebagai. Maka kerana itulah negeriu-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak dengan penuh ikhlas telah “surrender” atau menyerah hak mereka segala-galanya kepada PETRONAS. Mereka yakin Kerajaan Pusat akan bertindak adil dan saksama dengan penuh jujur dan suci hati.

Hari ini sudah jadi lain cerita. UMNO mencari helah itu dan ini untuk tidak mahu bayar kepada negeri Kelantan. Kalaulah BN yang memerintah Kelantan, sudah tentu mereka akan mencari hujah lain. Tapi itu tak semestinya dibayar terus. Kita sudah tahu permainan politik ini. Politik macam inilah yang mengecewakan rakyat.

Saya harap Tok Pa renung seketika persoalan isu bayaran minyak ini. Usahlah mempertahankan penipuan ini. Pertahankan prinsip kerana kebenaran. Kalau Menteri lain tak mahu faham saya harap Pa boleh faham. Semua iklan untok cuba meyakinkan rakyat sebaliknya dalam hal ini akan gagal. Rakyat sudah faham , UMNO belum


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.