Archive for March 2010

Pagar Makan Padi

March 22, 2010

Awang Selamat marah benar. Kepada orang Melayu yang tidak mahu bersekongkol dengan Ibrahim Ali dan Mahathir Mohamad dalam mesyuarat agung pertama Perkasa pada Sabtu ini, Awang yang kerdil itu berkata: “Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedang pun menghakis kedudukan Melayu”. Kalaulah saya Sultan Selangor, tentu terguris hati saya dengan sindiran yang biadab dan bodoh ini.

Awang naik berang kerana menurutnya, Perkasa patut di sanjung dan disokong kerana begitu lantang mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang dikatakan sedang dihina. Yang anehnya sejak bila pula institusi Raja-Raja Melayu kita dihina? Saya belum terbaca atau mendengar mana-mana pihak yang mencabar institusi Raja. Kalau pun Karpal Singh itu dikatakan mencabarnya, bukankah kes itu belum lagi selesai? Itu pun kes perundangan. Kenapa Awang, Ibrahim Ali dan Mahathir tak sabar-sabar hinggakan perlu memanggil 10,000 orang Melayu berhimpun. Kalau setakat nak beri orang ramai makan percuma dalam dewan yang empok, 20,000 orang pun boleh dicari. Tetapi Melayu sekarang tidaklah sebodoh yang difikirkan oleh Awang. Lebih baik Awang bagi contoh-contoh siapa dan apa yang mencabar Raja-Raja kita? Saya sangka orang akhbar ini bijak dan pintar, dan kenyataan pun biasanya berasas dan ada minat ke arah mencari kebenaran. Itu sepatutnya menjadi kriteria utama wartawan cemerlang.

Awang juga mendakwa kepentingan Melayu diasak begitu hebat selepas pilihanraya umum 2008 dan hanya Perkasa yang mempertahankan hak orang Melayu. Wah! Bila UMNO dan Barisan Nasional hilang banyak kerusi, maka itu bererti menghina Melayu? Ini rupanya punca kemarahan Awang dan Utusan Malaysia. Sebenarnya, iyu bukan menghina Melayu, cuma rakyat membuat pilihan mengikut selera mereka. Takkanlah kalah sikit, sudah nak marah. Itu gila kuasa namanya. Bagaimana nak ada demokrasi macam itu. Awang perlu sedar banyak juga orang Melayu yang mengundi Pakatan Rakyat? Bukan setakat pilihanraya umum 2008, malah dalam banyak pilihanraya kecil selepas itu pun orang Melayu memilih Pakatan Rakyat. Malah lebih ramai yang mengundi Pakatan daripada UMNO. Jadi Melayu mana yang Awang wakili?

Untuk pengetahuan Awang, biarlah dijelaskan di sini bahawa yang menghakis kedudukan Melayu ialah golongan Melayu atasan UMNO kerana merekalah yang memerintah. Tak ada kumpulan lain pun yang mentadbir negara ini kecuali mereka, sejak merdeka dahulu. Jika Awang kata kedudukan Melayu terhakis, maka kumpulan Melayu atasan inilah yang bertanggungjawab sepenuhnya. Tapi Awang berani kutuk Pakatan saja. Awang kecut perut dan takut nak berdepan dengan “political masters” dia. Kalau benar anak jantan, tanyalah kepada orang seperti Mahathir Mohamad, Muhyuddin Yassin dan Najib Razak mengapa Melayu masih ketinggalan, mengapa tanah rezab Melayu makin berkurangan, mengapa jurang di antara Melayu kaya dan Melayu miskin bertambah besar? Salah siapa?

Masalah Melayu dan bumiputra bukan kerana Melayu/ bumiputra tidak ada hak atau keistimewaan Melayu dicabar. Soal hak tak timbul. Masalah sebenar ialah orang Melayu selama ini telah mengharapkan pagar tapi pagar itu pula yang telah makan padi. Sampai hari ini pagar itu masih tak berhenti-henti makan padi milik orang Melayu. Itulah punca kemunduran Melayu sabenar. Tak kan lah ini pun tak faham.

Bila pula Orang Asli itu “Bumiputra”

March 17, 2010

Lebih 2,000 Orang Asli (kepada saya ungkapan Orang Asal adalah lebih tepat) telah berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mereka. Memorandun ini mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan tauke-tauke besar BN dan hanya memberi pampasan 6 ekar sekeluarga kepada mereka. Perarakan ini berupa perarakan menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli terhadap kaum yang terpinggir dan tertindas. Saya sungguh bangga dengan kebangkitan dan keberanian mereka. Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN.

Terkenang saya zaman sekolah di Kelantan dulu di mana saya duduk dalam satu kelas dengan Ajong dan Ahim, dua anak Orang Asal yang hebat sekali dalam sukan olahraga. Saya tak tahu di mana mereka sekarang tapi saya harap mereka telah mendapat pekerjaan yang baik dan hidup selesa. Orang Asal yang berjaya inilah yang mungkin dapat terus membela nasib Orang Asal yang terbiar dan terpinggir dari arus pembangunan negara. Alangkah malangnya kalau kawan-kawan saya ini juga terbiar

Tetapi masa depan mereka di bawah BN tidaklah cerah. Kegiatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli tidak pun mengambil kira atau menerima maklum balas dari golongan ini. Selalu kedengaran permasalahan Orang Asal tidak diberi perhatian yang wajar. Malah kenyataan Menteri Undang-Undang Nazri Aziz di Parlimen semalam (17 Mac 2010) menunjukkan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib mereka. Bila ditanya oleh Billy Abit Joo (BN-Hulu Rajang) sama ada pengiktirafan status Bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan, Nazri terus menjawab “tidak perlu”. Kata menteri itu, status Bumiputera telah pun diseleraskan dan digolongkan dalam 3 kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan. Tiga kategori itu ialah Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Saya terkejut. Bila pula Orang Asli ini dimasukkan dalam golongan “Bumiputera”? Saya terus merujuk kepada Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persukutuan. Tak ada pula Orang Asli diberi keistemewaan sebagai Bumiputera. Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin. Orang Asli bukan dikategorikan sebagai Bumiputera, hanya “Malays and the Natives of Sabah and Sarawak” dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini. Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya. Hanya “pendatang” yang terpilih oleh UMNO sahaja mendapat keistemewaan.

Saya harap rakyat Malaysia dapat “bangkit” bersama Orang Asal dan sama-sama kita bergerak dengan Pakatan Rakyat untuk membela nasib Orang Asal dan juga anak anak Sabah dan Sarawak yang selama ini telah diketepikan dan tidak diberikan layanan yang sewajarnya,. Dalam Model Ekonomi Baru yang konon mendapat pujian itu kita harap nasib mereka yang terpingtgir mendapat perhatian, bukan tertumpu hanya kapada mereka yang suka menjual nama bumiputra mereka.

Kahwin Lah Orang Dewasa

March 14, 2010

Dua kes perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 10 dan 11 tahun dengan lelaki berumur lebih 40 tahun telah sekali lagi menimbulkan persoalan tentang siapakah yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama dan orang Islam di negara kita ini. Dari aspek menyuarakan slogan dan retorik garang, sudah tentu ada. Ramai yang sanggup menggadai nyawa membela Islam. Tetapi apakah mereka ini akan membela nasib anak anak kecil yang dikahwinkan atau mereka hanya memilih isu isu “mudah dan sensasi”

Contohnya, ramai yang rasa tersinggung bila orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam akhbar mereka. Tapi yang anehnya, wira-wira ini tak pula kedengaran marah mereka sebelum kes akhbar Herald itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi akhir tahun lalu.Walhal larangan penggunaan kalimah itu dalam majalah tersebut telah dibuat pada tahun 2007. Dengan lain perkataan, sebelum bekas menteri Syed Hamid Albar mengiystiharkan larangan itu, berpuluh-puluh tahun lamanya “Allah” telah digunakan di Sabah dan Sarawak tanpa sesiapa pun naik marah dan tersinggung. Apakah ini bukan hipokrasi?

Sekarang biar kita tunggu siapa yang terasa tersinggung dan marah melihat kes 2 anak-anak kecil yang sepatutnya belajar A,B, C dan matematik di sekolah rendah tetapi telah dikahwinkan dengan dua orang “tua” yang berumur lebih 40 tahun. Sekarang kita tunggu siapa yang akan marah dan akan mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menentang kes yang melebihi 10,000 kasemuanya (mengikut sumber tertentu) melibatkan kes perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. Apakah ia akan terjadi atau besar kemungkinan kita tidak akan mendengar apa-apa rungutan. Malah orang macam saya akan dihentam kerana menimbulkan isu ini, kononnya Islam membenarkan anak-anak kecil dikahwinkan. Jadi tak ada siapa yang patut mempersoalkan perkara ini, kata mereka.

Saya minta maaf. Anak-anak kecil hingusan yang belum tahu ikat tali kasut, yang belum layak tandatangan kontrak, yang belum boleh ada lesen motosikal atau kereta, yang tidak sampai 18 tahun; hanya semata-mata sudah sampai haid, tidak sepatunya dibenarkan berkahwin. Tidak adil dan dikra kejam terhadap anak-anak kecil ini. Mereka ada hak untuk mengalami hidup sebagai kanak-kanak sebaya, bermain, bergembira, berlari ke sana-sini, bersekolah dan banyak lagi yang sepatutnya dinikmati oleh anak-anak kecil. Apabila tiba zaman remaja atau lebih baik bila dewasa nanti, akan timbul naluri semulajadi untuk kahwin. Tidak perlu mengikut tradisi lama.

Usahlah beri alasan Rasulullah S.A.W. berkahwin dengan Sayidina Aishah waktu berusia 9 tahun. Janganlah samakan diri kita dengan Perutusan Allah yang mendapat wahyu dari Yang Maha Esa. Baginda adalah Rasul tetapi kita hanyalah manusia biasa. Manusia biasa akan menyalahkan kebebasan ini. Ada ramai juga pada masa ini merupakan pengganas seks atau “paedophilia “seks . Undang-undang negara kita mestilah melindungi anak-anak kecil dari penyangak seks dan “peodophile” ini yang suka mencabul kehormata kanak-kanak. Hari ini kita sangat bimbang dengan pengaruh internet yang dikatakan lucah; kita bimbang dengan kes sex remaja dan sebagai nya. Bukankah sampai masanya kita melindungi anak-anak kecil ini daripada pesalah laku yang liar ini?

Perlu kita ingat bahawa pada zaman Rasulullah dahulu ada sistem hamba abadi. Rasulullah tidak memiliki hamba, tetapi Baginda tidak melarangnya. Itu tidak bererti kita pun kena amalkan sistem hamba abdi semata-mata kerana ia wujud dalam zaman Rasulullah. Ini bukan bererti Islam tak sesuai; yang tak sesuai adalah sistem hamba abdi. Islam itu untuk sepanjang masa. Kalau pun zaman dulu orang arab boleh kahwin anak muda, amalan itu sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini. Takkanlah ini pun susah untuk difahami?

Begitulah juga tanggungjawab kita kepada masyarakat, nasional dan dunia luar. Selain menjaga keselamatan anak-anak kecil, kita juga telah banyak menandatangani memorandum Konvensyen dan Undang-Undang Antarabangsa yang melarang perkahwinan anak kecil atau “child marriages”. Apa guna kita tandatangani Convention on Elimination Of All Frorms of Discrimination (CEDAW) dan “Convention of the Rights of the Child” dan banyak lagi konvensyen antarabangsa kalau kita takut berdepan dengan wira-wira agama, Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri. Saya harap Ketua Agama Islam, iaitu Raja-Raja Melayu, mengambil berat tentang soal kahwin kanak-kanak ini. Sekali lagi kita menjadi perhatian serong dunia dan kita perlu bertindak serta merta.

Diantara Ali Dan Baba

March 13, 2010

Saya bersetuju dengan Ibrahim Ali yang mengatakan tak ada salahnya bagi beliau selaku Pengurusi Perkasa untuk berkerja dengan tauke Cina yang terkaya Vincent Tan, atau dengan mana-mana tauke lain yang membuat projek perumahan atau jambatan atau projek lain di Kelantan. Orang Melayu sepatutnya berkerja dengan siapa saja yang boleh memberi manfaat dan keuntungan kepada orang Melayu sendiri. Yang penting dia betul-betul berkerja atau berniaga secara aktif. Yang penting Melayu ini bukan “sleeping partner” atau bukan Ali kepada Baba. Yang penting Melayu yang tahu harga diri.

Malangnya ramai pemimpin Melayu/Bumiputera yang ada kabel dengan Perdana Menter atau orang atasan lain dapat peluang hanya untuk jadi Ali kepada Baba. Maka dilantiklah Ali ini sebagai pengarah syarikat yang tak buat apa-apa kerja. Ali ini juga diberi saham. Maklumlah, Ali ini kan orang Bumiputra yang ada kedudukan istimewa dan peruntukan khas, walaupun bapa atau datuk dia lahir di Kerala atau Madras, atau di Aceh dan sebagainya. Orang yang benar-benar putera bumi di negara kita seperti Senoi, Negrito dan Proto Melayu di samping kumpulan-kumpulan etnik Semelai, Jakun, Temuan, Temiar dan sebagainya, tak pernah pula kita lihat dapat jawatan pengerusi syarikat-syarikat besarMereka tak ada perlindungan dibawah Perkara 153 yang ajaib itu.

Jadi bila wira Perkasa dan pengikut-pengikut UMNO Baru ini mahu pertahankan “keistemewaan” mereka, apakah sebenarnya yang mereka mahu pertahankan. Tak ada siapa pun yang bercadang nak ambil balik hak Bumiputera di bawah Perlembagaan. Tak orang bukan Melayu dan tidak juga Pakatan Rakyat yang mahu buat begitu. Lagi pun mustahil ianya dapat dilakukan dengan jumlah kerusi yang dipegang di Parlimen oleh kaum Bumiputera. Kadang-kadang ada di antara kita yang lupa bahawa di Sabah dan Sarawak, kaum Bumiputera merupakan kaum majoriti. Jadi apakah yang dibisingkan oleh “pembela hak Bumiputera” ini.

Sebenarnya, yang mereka mahu pertahankan ialah “sistem rentier” di mana nama Bumiputera UMNO itu ada harga untuk mendapat saham percuma atau elaun percuma atau jawatan pengarah dalam sesuatu syarikat. Mereka mahu Baba sentiasa perlukan servis dan nama mereka. Jadi Ali jenis ini sanggup terus mempertahankan elit Baba ini walaupun syarikat-syarikat Baba inilah yang menjadi persaingan dan mengurangkan peluang kepada peniaga Melayu yang tulin ikhlas yang mahu berniaga dengan erti kata yang sebenar. Inilah hakikatnya

Sepatutnya Ali ini perlu sedar diri dan benar-benar berjuang secara ikhlas. Apa yang perlu diperjuangkan oleh Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia ialah supaya Model Ekonomi Baru yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Najib Razak itu dapat membanteras fenomena ekonomi pajakan nama Bumiputera Ali kepada Baba. Selagi Ali mendapat elaun murahan yang mudah dan percuma dari Baba, selagi itulah ekonomi orang Melayu akan dikawal oleh Ali yang ada kabel untuk kekayanan Baba. Baba ini pula bukan sebarangan Baba. Orang Cina pun tak suka mereka kerana bolot segala-galanya.

Tapi saya rasa adalah mustahil Najib akan membersihkan ekonomi “rentier” ini kerana para pemimpin UMNO akan marah, ketua Bahagian UMNO akan marah dan Ahli Parlimen UMNO akan marah. Mereka akan marah kalau Model Ekonomi Baru ini bersifat adil dan memberi peluang saksama kepada rakyat Malaysia. Mereka mahu kepentingan mereka dipertahankan. Mereka akan marah kerana akan hilang peluang mendapat elaun murahan’ peluang jual nama Jadi mungkin Model Ekonomi Baru ini sebenar tak ada apa yang baru kecuali tabiat lama yang akan terus mementingkan UMNOputra. Tetapi kita sedia teliti dan meneliti dasar baru ini dengan adil..

PM ‘crazy’ for two-thirds majority

March 6, 2010

From Malaysiakini.TV

Perak 2; Sodomy2

March 4, 2010

UMNO menyerang Parti Keadilan Rakyat bertubi-tubi kerana ia mahu Barisan Nasional mendapatkan majoriti dua prtiga kerusi Parlimen dengan apa cara sekali pun. Dengan kuasa dua pertiga itu, mereka boleh pinda Perlembagaan Persekutuan. Mereka boleh ubah suai kawasan Parlimen . Mereka mahu lebih banyak kerusi majoriti orang Melayu kerana UMNO ingat orang Melayu tetap menyokongnya. Kononnya kalau tambah kerusi majoriti Melayu, maka kerusi UMNO dalam pilihan raya akan bertambah. Oleh itu, untuk dapatkan majoriti dua pertiga ini, UMNO berjaya menarik beberapa orang Ahli Parlimen PKR untuk menyokong BN bagi tujuan ini. Nampaknya hasrat Najib untuk mengembalikan kerusi dua pertiga di Parlimen akan tercapai. Saya percaya ada beberapa Ahli Parlimen PKR lagi akan keluar parti tidak lama lagi.

Sekarang kita bukan saja ada “Sodomy 2”; tetapi kita juga berhadapan dengan fenomena politik “Perak 2” di mana apa yang terjadi di Perak sudah pun bermula di peringkat pusat. Fenomena menggunakan wang, sogokan dan imbuhan ditawarkan untuk orang-orang PKR ini untuk berpaling tadah. Ini bukan kenyataan yang dibuat untok menutup kelemahan PKR dan kepimpinannya.Ini lah yang benar-benar berlaku. Inilah maklumat dan laporan yang kita terima dari orang ramai. Memang ada aspek tertentu dalam pengurusan parti yang perlu kita perbaiki, dan perkara ini sudah pun diakui dan tindakan telah pun diambil. Tetapi kita tidak dapat menahan “political mercenaries ” atau mereka yang sanggup menggadai perjuangan dengan wang dan jawatan, daripada melompat keluar dari parti kita.

Walaupun berberapa pemimpin parti melompat, sebenarnya sokongan rakyat bertambah. Inilah kekuatan kita yang sebenar. Inilah yang perlu disebar dan difahami oleh penyokong Pakatan Rakyat. Lihat sahaja sokongan padu para pemimpin dan ahli-ahli Parlimen DAP dan PAS terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim; ini menunjukkan perpaduan kita yang kukuh dan ikhlas. Kita bersama telah dapat mengatasi politik rasuah ini. Pilihan raya akan datang bergantung kepada kuasa rakyat, dan bukan kepada beberapa kerat “political mercenaries” yang melompat ini.

Saya dan kawan-kawan dalam PKR tetap akan mempertahankan perjuangan politik Pakatan Rakyat. Setelah selesai fenomena melompat ini, keadaan akan tenang kembali. Kita tidak akan lumpuh, malah kita akan lebih kuat. Kita akan lebih teliti dalam memilih calon, kita akan lebih cermat melantik wakil dalam jawatan tertinggi parti. PKR telah menghadapi keadaan yang lebih dahsyat daripada serangan wang ini, tetapi kita masih subur dan kuat. Ini bererti ramalan Pak Pandir kononnya PKR akan lumpuh hanyalah mimpi di siag hari kerana mereka tahu siapa sebenarnya yang telah kehilangan sokongan rakyat.

Saya harap rakyat Malaysia yang mahukan perubahan tetap yakin dengan perjuangan kami. Kalau dulu tak ramai yang berkaliber yang mahu bertanding di bawah tiket PKR, kini sudah sampai masanya anda menyahut cabaran untuk bersama-sama kami mengubah politik negara. Jika anda yang berwibawa tak mahu menyertai perjuangan ini untuk membasmi rasuah, salah guna kuasa, politik perkauman dan bermacam gejala buruk lain, maka mereka yang tak berkaliberlah akan mengisi kekosongan ini.

Untuk Anak-Anak Muda

March 1, 2010

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.