Archive for May 2010

Makan malam di Kota Bharu

May 31, 2010

Semasa kongres Parti Keadilan Rakyat berlangsung selama 3 hari di Kota Bharu, saya dan isteri telah mengambil kesempatan untuk menyediakan sedikit jamuan makan malam di rumah kami untuk para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara. Ada di antara mereka yang baru kali pertama berkunjung ke Kelantan. Kami suami isteri amat bangga kerana ramai yang hadir adalah dari kalangan rakyat, dan bukannya datuk datin dan orang besar korporat seperti para perwakilan UMNO.
Wanita Keadilan tidaklah banyak bergelang emas dan bergincu tebal, tetapi mereka peramah dan baik budi. Kerja dan usaha mereka menolong saya di Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil baru-baru ini tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya. Saya melihat mereka begitu komited dan sayangkan parti sendiri. Merekalah pejuang Keadilan yang sebenar. Jadi sebagai anak Kelantan, elok juga rasanya saya menjemput mereka bertandang ke rumah kami.

Kami sediakan juadah nasi dagang, nasi kerabu, nasi campur dan nasi lemak. Sungguh puas hati bila mereka datang berduyun-duyun, dan kami nampak mereka juga gembira dengan hidangan yang disediakan. Alhamdullilah. Ketua Umum Datuk Seri Anwar dan Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah serta anak-anak mereka turut hadir. Cuma Nurul Izzah tak dapat hadir kerana kurang sihat. Ibu saya serta keluarga kami sempat bergambar dengan mereka. Puas hati kami semua dan bolehlah bercerita kepada jiran tentang Anwar dan keluarga yang datang ke rumah kami.

Tapi hati manusia siapalah yang tahu. Dengar-dengarnya ada orang sudah tuduh saya mula berkempen. Seorang ahli parti bersungut ,” baguslah beri makan, orang Keadilan ni semuanya lapar”. Nampaknya masih ada manusia yang kurang sihat jiwa mereka dalam parti yang saya anggotai ni. Ini dah bunyi macam suara UMNO, yang sentiasa curiga dan berniat jahat kepada orang lain serta menuduh tanpa bukti kukuh.

Sebenarnya inilah unsur dan tabiat yang akan dan boleh merosakkan keutuhan parti kita. Tuduhan seperti itu tidak adil untuk saya kerana saya tidak berniat demikian. Ada juga pemimpin lain yang jelas berkempen dalam ucapan mereka. Ada pula yang dah pun edar gambar dan sebagainya. Tapi saya anggap itu tak salah. Biarlah mereka berkempen asalkan dengan cara yang sihat.

Pesanan Setiausaha Agung Saifudin Nasution baik sekali. Biarlah kita semua jelmakan parti ini sebagai parti yang demokratik, yang mempamerkan pemimpin dengan cara terbuka. Yang berkempen secara terbuka tetapi berhemah dan ada etikanya. Jangan jadi macam UMNO, satu peraturan untuk pihak tertentu dan” politik wang dan salah etika kapada orang lain. Sifat hipokrit inilah yang menyebabkan UMNO semakin hari semakin lemah. Kita parti yang lebih progresif, jadi pemimpin kita perlu pegang kepada prinsip-prinsip yang sihat.

Buat masa ini saya berpuas hati untok menjadi kempen MANAGER. Saya melihat Ramli Ramli Logan wakil Orang Asal , wakil Srikandi Siti Aishah , dan Nurul sendiri sebagai pemimpin parti yang wajar di ketengahkan. Siapa lagi yang berminat ?

Gabungan Pemimpin Tak Bermoral

May 17, 2010

Perdana Menteri kita ini macam cowboy di zaman Wild Wild West. Siri TV tahun 1960-an ini selalunya menunjukkan watak orang yang tak pedulikan undang-undang. Hukum yang dipakainya ialah pistolnya. Dia sanggup melakukan apa saja kerana orang takut kepadanya; sebab dia digelar “a fast draw”. Bila semua orang dalam ketakutan maka dia lah hero ditempat itu.

PM kita pun sama macam hero kaki tembak orang tanpa peduli undang-undang. Dia rasa dia sudah berjaya setelah “menang” di Hulu Selangor dengan membeli undi, menggunakan media massa termasuk Utusan dan stesen TV untuk memburukkan dan memfitnah lawan dan menyalahgunakan semua agensi penguatkuasa kerajaan tanpa segan silu. Maka dia ingat dia boleh kitar semula taktik itu di Sibu. Dengan itu PM kita pun bertandang ke Sibu dengan gaya dan taktik yang sama. Dia tawarkan RM18 juta kepada sekolah-sekolah cina, RM1.7 juta untuk geeja-gereja Kristian dan RM5 juta untuk mitigasi banjir. Wang tunai yang tidak kehabisan pula bercurah-curah di rumah panjang di Sibu.

PM Najib dan orang nombor duanya Muhyiddin sebenarnya jenis pemimpin yang tak ada moral kepimpinan. Tidak layak menjadi pemimpin; tidak boleh dijadikan teladan. Mereka pandai memburukkan peribadi saya tetapi merekalah sebenarnya “promoter” kepimpinan yang rasuah dan ganas. Bangga dengan penyalahgunaan kuasa yang dipamerkan. Bangga bila  membelakangkan undang-undang dengan sawenang-wenangnya. Mereka tak sedikit pun rasa malu dan segan. Tak segan kepada rakyat sendiri dan tak malu kepada kacamata dunia tentang tindakan mereka. Merekalah sebenarnya orang yang takut dengan rakyat. Mereka tahu kalau rakyat dibenarkan memilih dengan bebas dan pilihanraya diadakan dengan cara yang lazim diadakan di negara lain secara demokrasi tulen, mereka akan kehilangan kuasa. Itu pun, rakyat tetap berani bersuara. Suara rakyat masih hidup di Sibu. Saya yakin suara ini akan bertambah kuat di dengar di merata pelusuk negara kita.

Memang tak mudah undang-undang yang adil nak dilaksanakan di Malaysia. Ini adalah kerana di negara kita, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi Suruhanjaya dan Pencegahan Rasuah Malaysia adalah orang-orang PM. Mereka sudah lupa bahawa semasa mereka mengangkat sumpah menerima jawatan masing-masing, sumpah keramat mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat, mendaulatkan undang-undang negara dan menjalankan tugas dengan berani dan penuh integriti. Tapi sekarang ini mereka hanya menjaga kepentingan PM semata-mata.

Walaupun sukar, InsyaAllah, suatu hari nanti kita rakyat Malaysia akan berjaya mengembalikan maruah dan harga diri rakyat dan negara yang kita cintai. Bila tiba hari keramat itu, kita sudah tentu tidak memerlukan elit Melayu seperti ini lagi kerana sudah terbukti mereka hanyalah pagar yang makan padi. Golongan ini hanyalah gabungan pemimpin yang tak bermoral.

Beza arahan dan pandangan peribadi

May 5, 2010

Sultan Selangor telah bertitah bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja. Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik? Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?

Titah itu adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau “decree”. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu. Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik – untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Jadi tak timbul soal Tok Guru Nik Aziz melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Razak. Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor. Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian. Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan UMNO, maka mesti Najib bela. Sepatutnya Perdana Menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.  Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.