Utusan dah start dah….

Posted July 7, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

UMNO telah mula siar gambar saya. Lazimnya mereka takkan memberi  apa-apa laporan tentang diri  saya, apatah lagi nak masuk gambar. Bila mereka berbuat demikian ertinya; sudah sampai masa  saya akan di pukul dan dibelasah. Kerja akhbar Gestapo.  Lagi besar gambar itu maknanya lagi teruk mereka akan belasah saya, secara besar-besaran. Hari ini ada gambar saya dengan Raja Petra dan mereka membuat kesimpulan bahawa kerana hubungan ini maka PKR-lah atau parti Keadilanlah yang sponsor atau bantu Raja Petra dari segi Kewangan. Menteri Nazri kata dia ada bukti PKR beri wang kepada Raja Petra. Mengapa Utusan tak tunjuk bukti itu? Kita pun nak tahu kerana setahu saya parti saya ini tak ada duit, kais pagi makan pagi. Tak usah nak guna andaian untuk membuktikan sesuatu yang memang sudah ada bukti jelas dan kukuh. Lainlah kalau mereka tak ada bukti, lalu perlulah mereka membuat tohmahan dan dakwaan palsu.

Saya baru bertemu dan makan ais kacang dengan Petra dan Bala. Saya tanya mereka mengapa tidak mahu balik ke Malaysia. Mengapa mereka berada di luar negara. UMNO telah menuduh mereka buat kesalahan dan lari kerana takut kepada tindakan Mahkamah. Mereka menjawab serentak. Mereka akan balik ka Malaysia kalau mereka tidak akan kena ISA. Siapa boleh beri jaminan? Mereka takut mereka kena tahan dan diseksa sampai mati. Mereka takut kena bom C4. Mereka adalah dua insan kerdil yang takut kepada kerajaan yang ada sekarang. Saya amat faham ketakutan mereka. Saya sendiri berasa takut, entah apa pula yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa. Tetapi apa yang rakyat mesti ingat ialah: kedua-duanya, Petra dan Bala, tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan. Polis tidak pernah mengambil apa-apa tindakan untuk membawa mereka pulang. Jadi, jelas bagi saya mereka tidak bersalah. Jadi mengapa Utusan  cuba mengelirukan Rakyat dan menimbulkan persoalan yang tidak relevan, mengenai hubungan saya dan mereka. Yang relevan dan perlu dipersoalkan ialah kenyataan mereka bahawa kes Altantuya itu ada kaitan dengan orang lain yang Maha Berkuasa dan perlu disiasat. Jadi usahlah kita kata Petra itu tidak boleh dipercayai, atau boleh percaya tetapi 40% sahaja. Sanggupkah Kerajaan mengadakan Siasatan Terbuka  untuk menentukan betul atau salah Petra dan Bala ini? Dan sanggupkah Kerajaan memberi jaminan keselamatan ke atas mereka supaya mereka dapat pulang? Inilah yang sepatutnya menjadi persoalan dan perbincangan. Bukan mengapa saya jumpa Petra dan mengapa saya makan ais kacang  dengan beliau.

Lagipun PM Najib kena ingat, pilihan raya akan datang akan berkisar kepada soalan mengenai watak dan sifat pemimpin yang macam mana yang rakyat perlukan. Cara PM Najib cuba menutup Bala dan Petra tidak akan menguntungkan dia. Rakyat mahu pembangunan, itu betul. Rakyat mahu kemudahan asas, betul. Tetapi Rakyat juga mahu pemimpin yang tidak terlibat dengan kekejaman, yang tidak memperlihatkan ciri menyalahgunakan kuasa, dan yang tidak mentadbir negara ala gestapo. Rakyat mahu Kerajaan dan pemimpin yang telus dan sederhana, dan yang tidak menakutkan mereka. Menteri Hishamuddin, cukuplah bermain wayang. Janganlah pula hendak menyalahkan Kerajaan Britain mengatakan ia tidak mahu bekerjasama. Di England ni, tangkapan hanya boleh dibuat kalau orang itu buat salah, bukan macam Malaysia. Kalau Britain tidak mahu extradite seperti yang Menteri kata, itu ertinya Raja Petra tidak melakukan apa-apa kesalahan. Janganlah pula kata Britain tidak memberi kerjasama.

Lakonan komedi ala P Ramlee

Posted July 5, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Mula-mula, kita dengar PM Najib kata beliau penuh yakin polis akan menangkap Raja Petra; tapi dah 12 bulan polis tak buat apa-apa. Dan betul lah saperti kata Khairy, Raja Petra selalu ada di khalayak ramai, di London dan Manchester. Kalau saya dan ratusan rakyat Malaysia tahu dan dah pun bertemu dengan Raja Petra, takkan Polis tak tahu. Mustahil.

Begitu jugalah Bala. Dia pun ada di London. Minggu depan, dia akan ka Paris untuk bertemu dengan pihak penyiasatan Perancis. Tapi Polis Malaysia tak berminat bertemu dengn kedua-dua manusia ini. Persoalannya mengapa? Yang dihebohkan oleh Menteri Hishammuddin, MP Zahrain dan Utusan Malaysia ialah apa hubungan saya dengan Raja Petra. Soalan yang patut ditanya: mengapa tidak ada tindakan terhadap Raja Petra kalau dia ada membuat kesilapan? Beritahulah kepada rakyat apa dia kesalahan itu. Ada waran yang dikeluarkan untuk menangkapnya? Setahu saya, tidak ada. Jadi kalau Raja Petra tidak membuat apa-apa kesalahan, mengapa pula saya tak boleh tengok bolasepak dengannya?

Sebenarnya, PM Najib takut kapada kedua-dua manusia ini. Lalu berlakonlah mereka, kononnya Raja Petra dilaporkan berada di Brisbane, Australia dan di mana saja. Mereka sebenarnya tahu dimana Raja Petra dan di mana Bala. Malah Polis telah pun bertemu Bala di Bangkok, tetapi setakat ini, membisu sahaja. Inilah yang rakyat mahu tahu, mengapa tidak ada siasatan terbuka terhadap kedua-dua mereka ini. PM Najib berkata kita tidak boleh percaya kepada Raja Petra; tetapi kita juga tak boleh percaya buta tuli kepada PM Najib. Jadi buatlah satu penyiasatan yang bebas dan terbuka, dan beri jaminan kepada kedua-dua mereka tentang keselamatan diri dan keluarga mereka, dan jaminan mereka tidak akan ditahan dibawah ISA. Saya percaya mereka akan pulang ke Malaysia untuk mempertahankan kenyataan mereka yang dibuat tempoh hari. Dan jika mereka benar-benar kaki penipu dan memalukan pemimpin negara, maka hukumlah mereka. Itu cara pemimpin yang reformis dan baik, bukan berlakon menggunakan Polis dan akhbar menimbulkan buruk sangka setiap hari terhadap orang lain.

Saya terpaksa berhenti disini. Nak ke Holiday Villa London dalam masa sejam lagi nak bertemu Bala. Bukan apa. Kerana Polis dan MACC tak mahu dan takut bertemu Bala dan Petra, saya dan kawan kawan akan belanja mereka ais kacang.

Kesian Zahrain; So Pathetic

Posted June 30, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Wakil Rakyat sepatutnya menimbulkan cadangan yang bernas mengenai dasar negara dan berani mengkritik keputusan Kerajaan . Itulah tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh saorang Yang Berhormat. Lebih lebih lagi kalau kita itu Wakil rakyat “Bebas” yang begitu di gemari oleh  PM Najib Tun Razak. Kenalah jaga standard supaya orang tak mengatakan kita ini budak suruhan semata mata, dan tidak ada modal bernas untuk diketengahkan dalam Dewan.

Jadi saya hairan mengapa pertemuan saya dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu menjadi isu kepada YB Bayan Baru ini. Dia sudah semacam menjadi wakil special Branch bangga dengan pendedahannya yang saya duduk di Hotel Britannia bersama dengan Raja Petra di Manchester tahun lalu. Dia kata MACC kena siasat petemuan ini. Inilah kerja Wakil Rakyat pro BN kita hari ini. Tak ada perkara lain nak ditimbulkan. Kalau dia tanya saya, saya akan beritahu lebih dari itu. Jumpa Raja Petra tidak salah wahai YB. YB pun boleh kerumahnya di Manchester.

Raja Petra dan isterinya Marina  kawan saya . Saya tak tinggalkan kawan semata mata kawan ada dalam kesusahan. Jadi setiap kali saya ke London, saya jumpa mereka. Tahun lepas saya bawa Petra tengok bolasepak di Old Trattford; dia minat kepada Manchester United. Jadi saya belanjalah dia. Itulah sedikit hiburan baginya yang terpaksa  meninggalkan tanah air kerana menuntut kebenaran. Perjuagan seperti  Petra mungkin YB Bayan Baru kita itu tak mengerti atau faham.

Memang dia booking Hotel itu untuk saya, tapi tak benar dia tinggal disitu kerana rumah mereka hanya 15 min dari situ.  Hotel yang saya menginap itu pun 3 star , tak lah saperti hotel Zahrain guna semasa ke Washington. Maklumlah saya bayar sendiri. Minggu depan saya akan ka London dan inshaaallah  akan bertemu Marina dan Petra. Saya akan bekalkan butir lanjut jika YB Zahrain atau MACC mahu maklumat lain. Saya harap dapat juga bertemu Bala kalau MACC tidak mahu bertemu dengannya.

PM Yang Popular

Posted June 15, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Najib PM Yang Popular

Saya ditanya oleh saorang pemberita apa kah Pakatan tak takut dengan peningkatan sokongan orang ramai terhadap Kerajaan Najib. Mengikut kajian Merdeka Centre 72% orang ramai berpuas hati dengan perancangan dan tindakan  kerajaan BN hari ini. Dr Mahathir juga kagum dengan perkembangan ini lalu mencadangkan supaya pilihanraya umum dipercepatkan.

 Saya menjawab bahawa kita bergembiralah PM kita “popular” kerana itu akan membuat kita dalam Pakatan  lebih gigih dan bersungguh sungguh untok menawan Kerajaan Pusat nanti. Lagipun kita tahu mereka dalam keadaan serba salah. Nak panggil pilihanraya awal mereka juga bermasaalah. Nak tunggu kemudian hari nanti lebih terok akibatnya.  Kita dalam Pakatan tidak bimbang . Dialah pemimpin yang bertanggungjawab membazir wang berbillion ringgit membeli kapal selam dan jet pejuang selama 10 tahun dia jadi Menetri Pertahanan . Dan ada pula MOU nak  membeli kereta perisai ( armoured vehicles) dengan harga 8 billion ringgit dari Syed Mokhtar . Dan kapal tentera laut “ multi purpose support ships “bernilai melebehi 3 billion juga akan dibeli untok menolong Zahid Hamidi di Bagan Datok. ( Berjaga jaga lah Muhyiddin). Inilah tindakan pemimpin popular kita dalam ketika gaji peladang   dan petani kurang 800 ringgit  sabulan dan dalam  masa negara kita akan potong subsidi dan sekali gus  menaikan  harga  beras , minyak ikan dan gula.

Dialah juga pemimpin yang menjaga FELDA. Tak cukop jadi DPM masa itu, terus mahukan portfolio FELDA dan Pak Lah mengalah. Beri kan FELDA kapada nya.Mengikut Dr Tan  Kee Kwong , saorang bekas Timbalan Menetri, sabelum Najib jaga  Felda ;FELDA ada 75 kilang kelapa sawit,  harta atau aset bernilai 7 billion ringgit ; dan wang tunai melebehi 3 billion ringgit. Sekarang wang tunai yang FELDA ada hanya lah  200 juta. Bolihkah PM dan Mahathir  yang popular itu menerangkan kapada orang ramai apa sudah jadi pada FELDA?

Kita tak mahu pemimpin yang nampak popular; kita mahu pemimpin yang baik , yang tidak takut membuat keputusan demi kesahjeteraan rakyat. Kita mahu pemimpin  yang menolak  rasuah; yang tidak membeli undi, yang hormat kapada undang undang. Yang betul betul menjaga kepentingan Melayu dan rakyat semua.

Makan malam di Kota Bharu

Posted May 31, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Semasa kongres Parti Keadilan Rakyat berlangsung selama 3 hari di Kota Bharu, saya dan isteri telah mengambil kesempatan untuk menyediakan sedikit jamuan makan malam di rumah kami untuk para perwakilan dan pemerhati yang datang dari seluruh negara. Ada di antara mereka yang baru kali pertama berkunjung ke Kelantan. Kami suami isteri amat bangga kerana ramai yang hadir adalah dari kalangan rakyat, dan bukannya datuk datin dan orang besar korporat seperti para perwakilan UMNO.
Wanita Keadilan tidaklah banyak bergelang emas dan bergincu tebal, tetapi mereka peramah dan baik budi. Kerja dan usaha mereka menolong saya di Hulu Selangor dalam pilihan raya kecil baru-baru ini tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya. Saya melihat mereka begitu komited dan sayangkan parti sendiri. Merekalah pejuang Keadilan yang sebenar. Jadi sebagai anak Kelantan, elok juga rasanya saya menjemput mereka bertandang ke rumah kami.

Kami sediakan juadah nasi dagang, nasi kerabu, nasi campur dan nasi lemak. Sungguh puas hati bila mereka datang berduyun-duyun, dan kami nampak mereka juga gembira dengan hidangan yang disediakan. Alhamdullilah. Ketua Umum Datuk Seri Anwar dan Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah serta anak-anak mereka turut hadir. Cuma Nurul Izzah tak dapat hadir kerana kurang sihat. Ibu saya serta keluarga kami sempat bergambar dengan mereka. Puas hati kami semua dan bolehlah bercerita kepada jiran tentang Anwar dan keluarga yang datang ke rumah kami.

Tapi hati manusia siapalah yang tahu. Dengar-dengarnya ada orang sudah tuduh saya mula berkempen. Seorang ahli parti bersungut ,” baguslah beri makan, orang Keadilan ni semuanya lapar”. Nampaknya masih ada manusia yang kurang sihat jiwa mereka dalam parti yang saya anggotai ni. Ini dah bunyi macam suara UMNO, yang sentiasa curiga dan berniat jahat kepada orang lain serta menuduh tanpa bukti kukuh.

Sebenarnya inilah unsur dan tabiat yang akan dan boleh merosakkan keutuhan parti kita. Tuduhan seperti itu tidak adil untuk saya kerana saya tidak berniat demikian. Ada juga pemimpin lain yang jelas berkempen dalam ucapan mereka. Ada pula yang dah pun edar gambar dan sebagainya. Tapi saya anggap itu tak salah. Biarlah mereka berkempen asalkan dengan cara yang sihat.

Pesanan Setiausaha Agung Saifudin Nasution baik sekali. Biarlah kita semua jelmakan parti ini sebagai parti yang demokratik, yang mempamerkan pemimpin dengan cara terbuka. Yang berkempen secara terbuka tetapi berhemah dan ada etikanya. Jangan jadi macam UMNO, satu peraturan untuk pihak tertentu dan” politik wang dan salah etika kapada orang lain. Sifat hipokrit inilah yang menyebabkan UMNO semakin hari semakin lemah. Kita parti yang lebih progresif, jadi pemimpin kita perlu pegang kepada prinsip-prinsip yang sihat.

Buat masa ini saya berpuas hati untok menjadi kempen MANAGER. Saya melihat Ramli Ramli Logan wakil Orang Asal , wakil Srikandi Siti Aishah , dan Nurul sendiri sebagai pemimpin parti yang wajar di ketengahkan. Siapa lagi yang berminat ?

Gabungan Pemimpin Tak Bermoral

Posted May 17, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Perdana Menteri kita ini macam cowboy di zaman Wild Wild West. Siri TV tahun 1960-an ini selalunya menunjukkan watak orang yang tak pedulikan undang-undang. Hukum yang dipakainya ialah pistolnya. Dia sanggup melakukan apa saja kerana orang takut kepadanya; sebab dia digelar “a fast draw”. Bila semua orang dalam ketakutan maka dia lah hero ditempat itu.

PM kita pun sama macam hero kaki tembak orang tanpa peduli undang-undang. Dia rasa dia sudah berjaya setelah “menang” di Hulu Selangor dengan membeli undi, menggunakan media massa termasuk Utusan dan stesen TV untuk memburukkan dan memfitnah lawan dan menyalahgunakan semua agensi penguatkuasa kerajaan tanpa segan silu. Maka dia ingat dia boleh kitar semula taktik itu di Sibu. Dengan itu PM kita pun bertandang ke Sibu dengan gaya dan taktik yang sama. Dia tawarkan RM18 juta kepada sekolah-sekolah cina, RM1.7 juta untuk geeja-gereja Kristian dan RM5 juta untuk mitigasi banjir. Wang tunai yang tidak kehabisan pula bercurah-curah di rumah panjang di Sibu.

PM Najib dan orang nombor duanya Muhyiddin sebenarnya jenis pemimpin yang tak ada moral kepimpinan. Tidak layak menjadi pemimpin; tidak boleh dijadikan teladan. Mereka pandai memburukkan peribadi saya tetapi merekalah sebenarnya “promoter” kepimpinan yang rasuah dan ganas. Bangga dengan penyalahgunaan kuasa yang dipamerkan. Bangga bila  membelakangkan undang-undang dengan sawenang-wenangnya. Mereka tak sedikit pun rasa malu dan segan. Tak segan kepada rakyat sendiri dan tak malu kepada kacamata dunia tentang tindakan mereka. Merekalah sebenarnya orang yang takut dengan rakyat. Mereka tahu kalau rakyat dibenarkan memilih dengan bebas dan pilihanraya diadakan dengan cara yang lazim diadakan di negara lain secara demokrasi tulen, mereka akan kehilangan kuasa. Itu pun, rakyat tetap berani bersuara. Suara rakyat masih hidup di Sibu. Saya yakin suara ini akan bertambah kuat di dengar di merata pelusuk negara kita.

Memang tak mudah undang-undang yang adil nak dilaksanakan di Malaysia. Ini adalah kerana di negara kita, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan Pengerusi Suruhanjaya dan Pencegahan Rasuah Malaysia adalah orang-orang PM. Mereka sudah lupa bahawa semasa mereka mengangkat sumpah menerima jawatan masing-masing, sumpah keramat mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat, mendaulatkan undang-undang negara dan menjalankan tugas dengan berani dan penuh integriti. Tapi sekarang ini mereka hanya menjaga kepentingan PM semata-mata.

Walaupun sukar, InsyaAllah, suatu hari nanti kita rakyat Malaysia akan berjaya mengembalikan maruah dan harga diri rakyat dan negara yang kita cintai. Bila tiba hari keramat itu, kita sudah tentu tidak memerlukan elit Melayu seperti ini lagi kerana sudah terbukti mereka hanyalah pagar yang makan padi. Golongan ini hanyalah gabungan pemimpin yang tak bermoral.

Beza arahan dan pandangan peribadi

Posted May 5, 2010 by myzaidibrahim
Categories: Uncategorized

Sultan Selangor telah bertitah bahawa masjid tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Titah itu luas sekali skopnya. Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur tetapi tafsiran titah itu mungkin diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu.

Titah itu perlu diambil kira dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa raja. Contohnya, apakah doa yang disambut oleh semua mukmin supaya “raja kita sanjung dan dipanjangkan umur” itu sebenarnya tidak bersifat politik? Kadang-kadang kita dengar dalam khutbah rasmi solat Jumaat yang memuji-muji kerajaan Barisan Nasional. Apakah itu bukan politik?

Titah itu adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau “decree”. Dalam sistem Raja Berpelembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu. Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesuayarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan “gazette” tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik – untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja.

Jadi tak timbul soal Tok Guru Nik Aziz melanggar arahan Sultan Selangor seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Najib Razak. Tok Guru dan ramai lagi orang Islam yang tak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan Selangor. Pada zaman sekarang dan mengikut Perlembagaan, tak sependapat hanya bererti berbeza pandangan. Ia bukan satu kesalahan. Ia juga bukan perbuatan menghina.

Lainlah pula bila Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika Sari Dewi tidak perlu dirotan; ia adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian. Itu pun ramai yang membantah dan melenting, malah ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Jadi mengapa Najib tidak membela Sultan Pahang atas keputusan baginda yang sah dari segi undang-undang tetapi hanya mahu membela Sultan Selangor walaupun itu hanya pendapat peribadi?

Sebabnya, politiklah. Bila Sultan melakukan sesuatu yang nampak menguntungkan UMNO, maka mesti Najib bela. Sepatutnya Perdana Menteri mesti faham perbezaan antara perintah dan arahan, dengan pendapat dan pandangan peribadi, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.  Barulah rakyat terutamanya orang Islam tidak mudah dipesongkan dengan dakyah politik.